• nabalunews

WARGA ASING DISYAKI MILIKI SYABU DITAHAN



24 Nov 2020


SEMPORNA: Dua warga asing disyaki memiliki dadah jenis syabu berjaya ditahan dalam operasi membanteras jenayah dan Pendatang Tanpa Izin (PTI) di kawasan laut Terusan Sigalong, di sini.


Dalam kejadian jam 4 petang itu, anggota Pasukan Polis Marin (PPM) yang ketuai Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) mengesan pergerakan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan di lokasi kejadian.


Komander ESSCom DCP Datuk Ahmad Fuad Othman berkata pihaknya yang menggunakan dua bot tempur dan Samaran memeriksa sebuah bot yang dinaiki kedua-dua suspek terbabit.


“Hasil pemeriksaan awal mendapati kedua-dua suspek berumur 30 dan 27 tahun itu tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.


"Pemeriksaan lanjut pula menemui satu paket plastik lutsinar disyaki dadah jenis syabu di dalam beg sandang yang dipakai oleh salah seorang suspek,"katanya dalam kenyataan akhbar, di sini.


Ahmad Fuad berkata, pihaknya tidak menolak kedua-dua suspek merupakan pengedar dadah yang aktif di kawasan tersebut dan membekal syabu untuk penagih tempatan.


Beliau berkata, kedua-dua suspek dan barang rampasan termasuk syabu, bot, enjin, minyak petrol, telefon bimbit serta wang tunai berjumlah RM144 dibawa ke Pangkalan Polis Marin Semporna untuk siasatan lanjut.


"Nilai rampasan dianggarkan bernilai RM14,614 dan kesalahan tersebut disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana memiliki dadah," katanya.

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com