• Wartawan Nabalu News

DUN SABAH LULUS RUU LANGKAH SEMENTARA KURANGKAN KESAN COVID-19



23 DIS 2020

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Langkah- Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun ketika membentangkan RUU itu berkata, ia betujuan mewujudkan peruntukan bagi langkah-langkah sementara mengurangkan kesan penyakit Covid-19.


“Rang Undang-Undang ini digubal sebagai komitmen kerajaan negeri untuk meminimumkan impak penularan wabak Covid-19 yang telah memberi kesan langsung kepada ekonomi, sosial dan industri di negeri ini.


“Melalui Rang Undang-Undang ini, kerajaan negeri yakin kesan pasca Covid-19 kepada rakyat Sabah dalam pelbagai aspek kehidupan dapat ditangani dengan berkesan dan efisien,” katanya.


Masidi berkata, secara umumnya RUU mengandungi peruntukan mengubahsuai peruntukan di bawah Enakmen dan Ordinan tertentu yang membatasi usaha-usaha memulihkan ekonomi serta membantu rakyat semasa pasca Covid-19.


Beliau berkata, RUU ini memberikan satu pelepasan sementara daripada tanggungjawab atau pematuhan kepada perundangan tertentu bagi satu tempoh yang ditetapkan demi kelangsungan hidup rakyat.


“Rang undang-undang ini tidak mempunyai peruntukan berkaitan hukuman atau penalti sekiranya terdapat ketidakpatuhan terhadap peruntukan dalam Rang Undang-Undang.


“Ini adalah selaras dengan hasrat kerajan negeri supaya Rang Undang-Undang tidak bersifat menghukum yang membebankan mana-mana pihak.


“Ini kerana Covid-19 tidak mendiskriminasi. Covid-19 tidak mengenal antara yang kaya atau miskin, majikan atau pekerja, peniaga atau pembeli yang berada di bandar atau di desa.


“Kesan Covid-19 dirasai semua pihak apabila satu pihak terkesan bermakna seluruh rantaian ekonomi akan turut terkesan,” katanya.

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com