• nabalunews

DUN Sarawak lulus tukar gelaran Ketua Menteri kepada ‘Premier’



15 Feb 2022


KUCHING: Rang Undang-undang Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2022 yang mengandungi klausa untuk menukar gelaran jawatan Ketua Menteri kepada “Premier” diluluskan Dewan Undangan Negeri, hari ini.


Dibentangkan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan negeri Abdul Karim Rahman Hamzah, rang undang-undang itu diluluskan dengan majoriti lebih dua pertiga selepas 67 ahli dewan menyokongnya, manakala enam menentang.


Karim berkata, pindaan itu seiring pindaan Perlembagaan Persekutuan yang berkuatkuasa minggu lalu.

Semasa menjelaskan penggunaan “Premier” bagi menggantikan Ketua Menteri mengikut Perkara 6(3) Perlembagaan Sarawak, beliau berkata, ia sama seperti diamalkan negara Komanwel lain.


“Ketua Persekutuan digelar sebagai Perdana Menteri dan Ketua Wilayah membentuk Persekutuan digelar Premier, manakala subwilayah atau negeri lain diketuai oleh Ketua Menteri,” katanya.


Turut dicadangkan dalam rang undang-undang itu adalah gelaran Menteri Muda dipinda kepada Timbalan Menteri.


Karim berkata, pindaan gelaran jawatan itu perlu memandangkan tanggungjawab yang mereka pegang dan laksanakan.


“Nama jawatan ‘Menteri Muda’ ditukar kepada ‘Timbalan Menteri’ untuk lebih mencerminkan fungsi dan tanggungjawab mereka,” katanya.


Sementara itu, Tiong King Sing (GPS-Dudong) ketika membahaskan rang undang-undang itu, berkata Sarawak perlu berusaha mendapatkan lebih banyak kuasa autonomi dengan meluluskan resolusi yang sesuai atau meminda bahagian lain yang berkaitan dalam Perlembagaan Negeri.


“Perkara melibatkan kepentingan dan hak rakyat Sarawak perlu diutamakan. Begitu juga perkara yang melibatkan pendapatan isi rumah, peluang pekerjaan dan pembangunan infrastruktur di Sarawak,” katanya.


Chong Chieng Jen (PH-Padungan) pula membangkitkan isu istilah “Premier” dalam rang undang-undang itu yang boleh mengelirukan apabila diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia.


Beliau berkata, dewan itu perlu membuat pendirian untuk mewujudkan istilah standard untuk gelaran ini dalam Bahasa Malaysia sebelum meneruskan untuk meluluskan rang undang-undang itu.


Baru Bian (PSB-Ba’Kelalan) dalam perbahasannya berkata rang undang-undang itu tidak mengikut perlembagaan kerana Perlembagaan Persekutuan pada masa ini merujuk ketua eksekutif Sarawak sebagai Ketua Menteri dan tiada mana-mana dalam undang-undang tertinggi negara bahawa jawatan itu disebut sebagai “Premier”.


“Adalah lebih baik untuk mengambil langkah konkrit yang akan memberi manfaat kepada Sarawak dan rakyat Sarawak dengan ketara, daripada tergesa-gesa menukar nama yang mungkin membawa sedikit kepuasan diri tetapi akhirnya boleh dikritik kerana tidak mengikut perlembagaan,” katanya.

Fazzruddin Abdul Rahman (GPS-Tupong) berkata penukaran gelaran itu akan memberikan pengiktirafan ketua eksekutif Sarawak berbanding Ketua Menteri Melaka dan Pulau Pinang.


“Apa yang lebih penting adalah semangat di sebalik pengenalan perkataan atau gelaran baharu ini untuk menandakan perbezaan tiga rakan yang membentuk Malaysia,” tambahnya. – Bernama