top of page
  • Wartawan Nabalu News

EKONOMI GIG TAWAR PELUANG PEKERJAAN KEPADA GENERASI MUDA


Salleh ketika berucap paa majlis itu.

4 April 2021


KOTA BELUD: Perlindungan sosial dan latihan bagi pekerja ekonomi gig menjadi salah satu inisiatif dalam teras pertama Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang bertujuan memperkasakan rakyat.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Seri Panglima Dr Salleh Tun Said Keruak berkata, ekonomi gig merupakan satu sistem pasaran yang memberi kebebasan kepada organisasi dan pekerja untuk mendapatkan pendapatan dalam jangka waktu kerja yang fleksibel.


“Ekonomi gig adalah pasaran buruh kontrak jangka pendek atau kerja bebas yang dilakukan oleh individu dan menjadi segmen ekonomi yang semakin popular terutama dalam kalangan generasi muda.


“Setiap individu mempunyai kepakaran tersendiri dan perlu tahu bagaimana untuk memasarkan kemahiran yang ada bagi menambah pendapatan.


“Misalnya, seseorang boleh mendaftarkan kepakaran dalam suatu sistem perniagaan berkredibiliti dan dikemaskini seperti aplikasi RunED," katanya.


Beliau turut menjelaskan meskipun terdapat isu keselamatan pekerja berlaku di peringkat global, kerajaan akan terus mencari jalan bagaimana memastikan individu yang terlibat dalam ekonomi gig terjamin keselamatannya.



“Saya lihat kerajaan kini giat merangka dasar menyokong pertumbuhan ekonomi gig khususnya kebajikan pekerja dalam sektor yang mampu menawarkan peluang pekerjaan baru ketika ini.


“Dalam sesuatu perkara baharu terutamanya yang melibatkan ramai anak muda, proses penambahbaikan pasti dibuat dari masa ke semasa dan saya yakin RunED akan memastikan keselamatan semua pekerja dalam semua aspek terjamin,” jelasnya pada Program Pra-Pelancaran Aplikasi RunED & Santai Bersama SSK di Kota Belud baru-baru ini


Menerusi PENJANA, sejumlah RM50 juta dalam bentuk dana padanan diperuntukkan bagi platform ekonomi gig mencarum pekerjanya di bawah Skim Bencana Pekerjaan PERKESO dan Skim i-Saraan KWSP.