Elak kawasan runtuhan
- nabalunews
- Mar 8
- 1 min read

8 Mac 2025
KOTA KINABALU: Orang ramai dinasihatkan untuk mengelak kawasan bangunan yang mengalami runtuhan lantai di Kompleks Segama, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, notis arahan berkenaan berkuat kuasa sehingga siasatan selesai dan bangunan diisytiharkan selamat.
Katanya, kerjasama semua pihak amat dihargai untuk memastikan keselamatan orang awam dan peniaga terlibat terjamin.

“Pihak polis akan menempatkan enam anggota dari Balai Polis Kota Kinabalu untuk menjaga dan mengawal lokasi kejadian.
“Setakat ini, pihak bomba masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan memastikan tiada risiko tambahan kepada orang awam,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Sementara itu, mengulas mengenai kejadian berkenaan, Kasim berkata, sebaik menerima laporan kejadian, sepasukan pihak berkuasa terus digerakkan ke lokasi.

Katanya, selain polis, operasi turut dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).
“Dalam insiden ini, terdapat seorang mangsa terlibat dan operasi mencari dan menyelamat mangsa terus dijalankan.
“Pasukan penyelamat akhirnya berjaya menemui mangsa wanita warga China berusia 55 tahun yang mengalami kecederaan patah kiri.

“Mangsa terus dibawa ke HQEI untuk menerima rawatan selanjutnya dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya.
Kasim berkata, pihaknya turut mengambil tindakan mengosongkan premis bilik sewa di tingkat dua dan tiga bangunan terlibat.
Katanya, semua 55 penghuni diarahkan berpindah untuk tujuan keselamatan dan sebagai langkah berjaga-jaga.

“Sebuah pusat penempatan sementara (PPS) turut dibuka di Dewan Masyarakat Kota Kinabalu untuk menempatkan penghuni yang terjejas,” katanya.
Terdahulu, dalam kejadian 8 malam Jumaat, lantai melibatkan sebuah restoran dan rumah penginapan ranap selepas lantai tingkat satu bangunan kedai berkenaan runtuh.
Comments