Ilona Andrew
Ellron nafi dakwaan Warisan mengenai kelulusan pembangunan tanah Wisma Kosan semasa AGM 2016

3 Ogos 2021
Oleh Ilona Andrew
KOTA KINABALU: Pengerusi Koperasi Serbaguna Sanya Berhad (KOSAN) Datuk Ellron Angin menafikan dakwaan Parti Warisan Sabah (Warisan) yang menyatakan beliau mengeluarkan kenyataan bahawa Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Kosan yang ke-33 pada Ogos 2016 telah meluluskan pembangunan tanah Wisma Kosan, Likas.
Terdahulu, Ketua Cabang Warisan Samuel Wong mendakwa Ellron dikelirukan oleh orang-orang tertentu dalam organisasi sehingga mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan berhubung mesyuarat pada tahun 2016.
Menerusi satu kenyataan, Ellron berkata pembangunan tanah wisma sebaliknya itu telah dibentang dan diluluskan oleh anggota-anggota Kosan di dalam AGM ke-34 yang telah diadakan pada 19 Ogos 2017.
Tambahnya, beliau turut mengeluarkan kenyataan media pada 1 Ogos baru-baru ini bagu menjelaskan isu itu.
“Kenyataan media saya tersebut juga telah dilaporkan oleh Daily Express di bawah artikel yang bertajuk “Kosan land for mixed development” bertarikh 2 Ogos 2021.
“Oleh yang demikian, kenyataan Samuel Wong bahawa saya ‘membohong’ atau ‘telah diperdayakan’ oleh ahli Lembaga Kosan adalah tidak benar sama sekali.
“Saya menasihati Samuel Wong untuk memeriksa dan mengesahkan dahulu kenyataan media saya sebelum membuat apa-apa kenyataan,” ujar Ellron yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar.