• Wartawan Nabalu News

EMPAT KLUSTER BAHARU DI SABAH, PENULARAN DI TEMPAT KERJA DAN BANDUAN


18 Julai 2021 Oleh Wartawan Nabalu News KOTA KINABALU: Empat kluster baharu direkodkan hari ini di Sabah melibatkan penularan di tempat kerja dan banduan. Kluster-kluster itu dikenali sebagai Kluster Batu Tiga Utara - Sandakan, Kluster Agathis - Kalabakan, Kluster Sri Sandau - Kinabatangan dan Kluster Tembok Dua - Tawau. Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, Kluster Batu Tiga Utara - Sandakan merupakan kluster pusat rawatan. Beliau berkata, kes indeks adalah lelaki, 27, pesakit rawatan hemodialisis di sebuah unit dialisis hospital kerajaan. Kes indeks yang mula bergejala sejak 11 Julai 2021 kemudian disahkan positif COVID-19 melalui ujian RTK-Ag 100% di sebuah klinik swasta pada 13 Julai 2021. “Saringan kontak serumah yang dijalankan mendapati empat ahli keluarga kes juga positif iaitu tiga PCR dan satu RTK-Ag. “Pada 17 Julai 2021, unit hemodialisis hospital terbabit juga telah menjalankan saringan di wad dan mengesan 14 lagi kes positif ujian RTK-Ag 100% dalam kalangan pesakit di pusat rawatan terbabit. “Secara keseluruhan, kluster ini merekodkan jumlah kumulatif 19 kes termasuk 17 kes baharu pada hari ini, katanya dalam kenyataan media hari ini. Masidi berkata, Kluster Agathis - Kalabakan pula melibatkan penularan jangkitan di tempat kerja iaitu di sebuah ladang kelapa sawit di Kalabakan. Katanya, pada 14 Julai 2021, kes indeks yang merupakan pemandu estet, lelaki, 46, disahkan positif COVID-19 hasil saringan bergejala di klinik swasta dalam kawasan ladang tersebut. “Siasatan awal mendapati kes indeks pernah membawa pekerja bergejala ke klinik estet untuk mendapatkan rawatan. “Berikutan maklumat tersebut, saringan kontak rapat dan staf klinik mengesan rakan sekerja dan jururawat klinik terbabit turut positif COVID-19 pada 16 Julai 2021,” katanya. Beliau berkata, setakat hari ini, jumlah terkini kes positif COVID-19 bagi kluster ini ialah sebanyak 33 kes positif termasuk 31 kes baharu. Siasatan lanjut pengesanan kontak rapat dan mengenal pasti punca jangkitan sedang giat dijalankan. Masidi berkata bagi Kluster Sri Sandau - Kinabatangan, ia dikesan apabila kes indeks yang merupakan pekerja ladang wanita, 35, bukan warganegara, disahkan positif COVID-19 melalui RTK-Ag grading 50% di sebuah klinik swasta di Nangoh, Beluran pada 12 Julai 2021. Katanya, saringan tersebut bertujuan untuk kemasukan ke ladang dan kes indeks telah dirujuk ke Hospital Duchess Of Kent Sandakan untuk rawatan lanjut. “Saringan kontak seterusnya mendapati 10 orang rakan sekerjanya didapati positif COVID-19. “Setakat 18 Julai 2021, jumlah kumulatif kes positif bagi kluster ini ialah 11 orang termasuk 10 kes baharu hari ini. Aktiviti siasatan, persampelan COVID-19 dan disinfeksi di lapangan masih giat dijalankan,” katanya. Kluster Tembok Dua - Tawau pula adalah kluster kategori pusat tahanan/ penjara. Masidi berkata, pada 16 Julai 2021, 35 kes positif dikesan dalam kalangan banduan hasil saringan pra-pengeluaran dari penjara. “Jumlah ini merangkumi 30 kes menerusi saringan banduan dagang yang akan dikeluarkan ke Depot Tahanan Sementara dan akan diserahkan kepada imigresen. “Manakala, lima kes lagi mempunyai urusan luar penjara iaitu satu banduan temujanji antenatal dan empat banduan persidangan mahkamah. “Semua kes positif ini berada di Blok Ceria, Damai dan Abadi yang merupakan blok penjara yang bersih di mana semua tahanan telah menjalani 14 hari kuarantin dan dua sampel negatif,” katanya. Katanya lagi, saringan kontak rapat telah dilakukan bagi banduan dan juga pegawai penjara. Siasatan awal mendapati, tiada kaitan epidemiologi dengan Kluster Tembok Tawau sebelum ini yang berlaku di Blok Ehsan yang merupakan blok tercemar. “Setakat hari ini, sebanyak 159 kes telah berjaya dikesan termasuk 124 kes baharu. Siasatan lanjut pengesanan kontak rapat dan pengenalpastian punca jangkitan sedang giat dijalankan.