top of page

Empat Lelaki Miliki 40 Bilah Pisau Taji Ditahan

  • nabalunews
  • Jul 19, 2025
  • 1 min read

19 Julai 2025


TAWAU: Polis menahan empat lelaki warga asing selepas disyaki memiliki 40 bilah pisau taji dalam satu serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Apas Parit, Tawau, semalam.


Keempat-empat lelaki terbabir ditahan dalam operasi khas kira-kira jam 3 petang oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Wildlife Crime Perisikan Siasatan Khas, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Bukit Aman dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tawau dan Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau.


Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, semasa serbuan dilakukan, keempat-empat suspek sedang berada di rumah berkenaan.

Katanya, pasukan operasi memperkenalkan diri sebelum bertindak menahan semua suspek untuk pemeriksaan.


“Pasukan operasi turut merampas 40 bilah pisau taji yang disembunyikan di lokasi serbuan.


“Semua suspek berusia lingkumgan 31 hingga 52 tahun,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.


Menurutnya, seorang daripada suspek memiliki pasport sah manakala tiga lagi tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.


Katanya, semua suspek bekerja sebagai buruh di kawasan berkenaan dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.


“Siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 6 Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.


Sehubungan itu, Champin menggesa orang ramai agar menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah kepada pihak polis bagi memastikan keselamatan awam terus terpelihara.


Katanya, pemilikan senjata berkenaan adakah satu kesalahan serius dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang ini.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page