Empat Pengedar Air Ketum Ditahan
- nabalunews
- Jun 6
- 1 min read

6 Jun 2025
KOTA BELUD: Empat lelaki yang dipercayai menjalankan aktiviti memproses dan menjual air ketum ditahan dalam beberapa serbuan berasingan di sekitar daerah ini.
Operasi bermula 24 Mei lalu itu dilaksanakan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, semua suspek yang ditahan berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun.

Katnaya, tangkapan itu dilakukan hasil maklumat risikan dan serbuan di Kampung Taun Gusi, Tampasuk 1, Kampung Suang Punggur, Kampung Pintasan dan Kampung Ambong.
"Tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki di sebuah rumah di Kampung Pintasan. Pasukan serbuan merampas lapan botol berisi 1.5 liter air ketum.
"Dalam serbuan kedua di Kampung Taun Gusi, pasukan serbuan menahan seorang lelaki bersama 24 botol 1.5 liter berisi air ketum di dalam sebuah rumah yang didiami oleh suspek," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, serbuan di sebuah rumah di Kampung Ambong, pasukan serbuan menahan dua lelaki bersama 10 botol 1.5 liter berisi air ketum.
"Pasukan serbuan turut merampas beberapa peralatan dipercayai untuk memasak air ketum berkenaan.
"Siasatan awal mendapati, air ketum berkenaan dijual dengan harga anggaran RM25 hingga RM30 sebotol," katanya.
Shahrudin berkata, semua suspek ditahan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.
"Polis mengingatkan kepada setiap individu yang terbabit memproses, menjual, membeli dan menggunakan ketum untuk segera berhenti daripada menjalankan aktiviti tidak bermoral ini.
"Polis akan terus mempergiatkan operasi seperti ini dari semasa ke semasa demi kesejahteraan daerah ini," katanya.
Comments