top of page

Empat suspek pengedar dadah ditahan

  • nabalunews
  • Jan 28
  • 1 min read

Jasmin (kedua dari kiri) menunjukkan Syabu yang dirampas dari empat suspek pengedar dadah
Jasmin (kedua dari kiri) menunjukkan Syabu yang dirampas dari empat suspek pengedar dadah

28 Januari 2025


Oleh: Wartawan Nabalu News


TAWAU: Polis berjaya menahan empat suspek pengedar dadah bersama sejumlah 3,058 gram syabu dalam dua serbuan berasingan di daerah ini, minggu lalu.


Serbuan dijalankan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, hasil maklumat yang diterima daripada orang awam.


Keempat-empat individu yang ditahan termasuk dua warga tempatan itu berusia lingkungan 28 hingga 41 tahun.


Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, tangkapan pertama dilakukan dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Kuhara sekitar jam 5 petang pada 19 Januari lalu.


Katanya, hasil pemeriksaan, polis berjaya merampas 2039.64 gram dadah dianggarkan bernilai RM120, 000.


"Susulan penahanan itu, dua lagi suspek berjaya ditangkap bersama dadah bernilai RM60,000 di Kilometer 60 Jalan Semporna - Tawau.


"Kedua-dua suspek ditahan kira-kira jam 12.10 malam, pada 20 Januari lalu selepas didapati memiliki sejumlah 1018.41 gram dadah di dalam kenderaan mereka,"katanya dalam sidang media di IPD Tawau, hari ini.


Jasmin berkata, hasil siasatan, salah seorang suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah serta air kencing positif dadah.


Katanya, semua suspek masih dalam tahanan reman selama 14 hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.


Sementara itu, Jasmin berkata, polis tidak menolak kemungkinan wujud jaringan dalam kes pengedaran dadah yang dibuat selepas menerima pesanan.


Bagaimanapun katanya, pihak polis masih meneruskan siasatan untuk mengenalpasti sumber dadah berkenaan yang dipercayai untuk pasaran tempatan.


“Pihak polis juga ingin mengucapkan terima kasih kepada masyarakat yang memberikan maklumat sehingga membawa kepada dua kejayaan tangkapan berturut-turut,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page