top of page

Enam Laporan Polis dan Tiga Kertas Siasatan Dibuka

  • nabalunews
  • Jun 23
  • 1 min read

23 Jun 2025


KOTA KINABALU: Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun mengesahkan pihaknya menerima enam laporan polis dan membuka tiga kertas siasatan berhubung penganjuran Perhimpunan Gempur Rasuah 2.0 yang diadakan di pusat bandaraya Kota Kinabalu, baru-baru ini.


Menurutnya, susulan daripada laporan polis berkenaan, setakat ini pihaknya mengesan terdapat sembilan kesalahan untuk siasatan lanjut.


Katanya, antara kesalahan yang dikenal pasti ialah menghasut, membuat pembakaran di tempat awam termasuk membawa bahan kakisan atau berbahaya seperti minyak serta menyentuh isu agama, kaum dan institusi diraja (3R).


“Pihak polis akan menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada terutama sekali Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan sebagai inti utama kepada siasatan,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, petang tadi.


Jauteh berkata, perhimpunan berkenaan tidak pernah mendapat kelulusan sebaliknya hanya maklum balas daripada pemberitahuan yang dibuat oleh pihak penganjur.


Katanya, susulan pemberitahuan berkenaan, pihak polis memberikan maklum balas dengan meletakkan syarat-syarat untuk kepentingan keseluruhan masyarakat ataupun bagi memastikan ketenteraan awam sepanjang perhimpunan itu berlangsung.


“Dalam hal berkenaan, PDRM telah mengeluarkan maklum balas dengan menetapkan 15 syarat untuk dipatuhi pihak penganjur dan ia bukan kelulusan sebaliknya dalah maklum balas atas pemberitahuan.


"Malangnya, pihak penganjur gagal memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan,” tegasnya.


Sehubungan itu, Jauteh menegaskan, kertas siasatan dibuka untuk siasatan lanjut berdasarkan kepada undang-undang yang wujud di negara ini.


Katanya, apabila siasatan siap, pihaknya akan merujuk perkara berkenaan kepada Pejabat Peguam Negara untuk arahan lanjut bagi tujuan pertuduhan.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page