top of page

Enam mangsa bot karam diserahkan semula kepada pihak berkuasa Filipina

  • nabalunews
  • Mar 19
  • 1 min read


19 Mac 2025


SANDAKAN: Enam mangsa bot karam warga Filipina yang diselamatkan tiga hari lalu diserahkan semula kepada pihak berkuasa negara jiran di perairan sempadan Malaysia-Filipina, semalam.


Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, semua mangsa diselamatkan selepas pihaknya menerima laporan berhubung bot karam di luar had pelabuhan Sandakan pada jam 7.30 malam, Ahad lalu.


Katanya, sejurus menerima maklumat, operasi menyelamat segera dilancarkan dengan menggunakan Bot HALILINTAR 4 ke lokasi kejadian.



“Sebaik tiba di lokasi kira-kira 9 malam, semua enam mangsa terus diselamatkan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk rawatan dan tindakan selanjutnya.


“Semua mangsa terdiri daripada lima orang dewasa dan seorang kanak-kanak berusia antara 11 hingga 45 tahun,” katanya dalam kenyataan media, semalam.


Mangsa-mangsa tersebut kemudian dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan pada pukul 11.30 malam untuk rawatan dan tindakan selanjutnya.



Muhamad Suhairy berkata, hasil perbincangan dua hala, Maritim Malaysia bekerjasama dengan pihak berkuasa Filipina bersetuju untuk penyerahan semula semua mangsa ke negara asal.


Katanya, semua mangsa diserahkan di perairan sempadan dengan diiringi aset kedua-dua negara.


“Penyerahan semua mangsa berjaya dilaksanakan pada jam 10.30 pagi Selasa di sempadan Malaysia-Filipina. 


“Semua mangsa berada dalam keadaan baik dan telah diambil alih oleh pihak berkuasa Filipina,” katanya.


Sementara itu, Suhairy berkata, Maritim Malaysia komited untuk memastikan keselamatan maritim dan menggesa komuniti pesisir pantai untuk berhati-hati serta sentiasa waspada amaran yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page