top of page
  • Wartawan Nabalu News

ESSCOM DIMINTA PERKETAT KAWALAN SEMPADAN INDONESIA


Mohd Zaki Harry Susanto

16 Julai 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


TAWAU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) disaran memperketatkan kawalan sempadan negara Indonesia ekoran lonjakan kes baharu Covid-19 di negara itu yang kini melebihi 56,000 kes.


Penasihat Pertubuhan Pencegahan Dadah dan Jenayah Sabah (PPDJS), Mohd Zaki Harry Susanto berkata, ia perlu dipandang serius agar kesannya tidak menular dan tidak memburukkan lagi situasi semasa di Sabah khasnya di daerah yang mempunyai sempadan darat serta laut dengan negara tersebut.


“Situasi terkini di negara jiran itu adalah satu amaran bahawa Varian Delta lebih mudah merebak malah hanya memerlukan masa yang amat singkat untuk menjangkiti mana-mana individu yang terdedah.


"Keadaan ini boleh menjadi lebih buruk jika pihak berkuasa khasnya ESSCOM tidak memperketatkan kawalan sempadan apatah lagi di ambang sambutan Aidiladha yang bakal menjelang tidak lama lagi.


"Apa yang kita bimbang, pergerakan keluar-masuk yang tidak terkawal khususnya di laluan-laluan tikus akan menjadi penyebab utama kepada lonjakan kes Covid-19 di negeri ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Sehubungan itu, Zaki menyeru agar ESSCOM melipatgandakan 'omni-presence' dan memfokuskan kawalan bukan hanya di pintu masuk 'halal' malah memperketatkan kawalan di lokasi jalan masuk 'haram' supaya pencegahan boleh dibuat.