• nabalunews

ESSCOM, PDRM LAKSANA PENERBANGAN IHSAN HANTAR PEGAWAI KEMALANGAN JALAN RAYA


3 NOV 2020

SANDAKAN: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini melaksanakan penerbangan ihsan bagi membawa seorang pegawai Esscom, yang terlibat dalam kemalangan jalan raya di sini, untuk meneruskan rawatan di kampung halamannya di Keningau.

Pegawai berkenaan, Inspektor Kusmass Enos, 32, koma selepas keretanya terbabas di Batu 6 di sini ketika dalam perjalanan dari Ranau ke Sandakan untuk bertugas kira-kira 1.55 tengah hari, 10 Okt lepas.

Menurut isterinya yang merupakan Pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau Inspektor Sherly Simon, suaminya yang berasal dari Kampung Sungoi, Apin-Apin akan menjalani fisioterapi di Hospital Keningau dan juga rawatan tradisional.

“Doktor sukar untuk memberi harapan kepada kami sekeluarga kerana suami saya telah mengalami pendarahan di bahagian penting otak yang mengawal pergerakan dan pernafasan.


Namun, keadaan suami bertambah baik dan boleh bergerak dengan bantuan, namun pertuturannya masih lemah...kami amat bersyukur,” katanya ketika ditemui pemberita di Kompleks Pangsapuri IPD Sandakan di sini.

Ketua Staf Bahagian Operasi Darat Esscom SAC M Chandra, yang turut hadir menyaksikan penerbangan ihsan oleh Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM itu, berkata ESSCom amat prihatin dengan keadaan Kusmass, yang terlibat kemalangan ketika sedang bertugas.

“Daripada awal lagi sejak mengetahui keadaan yang menimpa Inspektor Kusmass, pihak Esscom telah meminta bantuan daripada IPD Sandakan yang menyediakan tempat penginapan dan pengangkutan untuk keluarganya. Kami berdoa agar Inspektor Kusmass cepat sembuh dan dapat kembali bertugas,” katanya. – Bernama

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com