ESSCOM BERJAYA RAMPAS ROKOK SELUDUP BERNILAI LEBIH RM150,000 DI TAWAU
- Wartawan Nabalu News
- Nov 7, 2020
- 2 min read

7 Nov 2020
TAWAU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) berjaya merampas 12,200 karton rokok seludup tanpa cukai dianggarkan bernilai RM152,288 di kawasan Blok 5, kampung titingan, di sini semalam.
Komander ESSCOM DCP Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, ini adalah kejayaan terbesar yang pernah dicatatkan oleh OCP Laut dan Daratan ESSCOM sejak mula diaktifkan awal April lalu.
Beliau berkata, bertindak atas maklumat berkaitan kemasukan rokok seludup tanpa cukai daripada Subpusop ESSCOM OCP Selatan kira-kira jam 9.35 malam, telah mengesan Contact Of Interest (COI) melalui radar pergerakan sebuah bot dari Pulau Sebatik menghala ke Kg. Titingan, Tawau.

"Sepasukan anggota yang terdiri daripada 9 anggota batalion 14 pasukan gerakan am (PGA), 9 anggota 9 rejimen renjer Diraja, 5 anggota unit risikan marin polis marin yang diketuai oleh seorang anggota ESSCOM telah diatur gerak ke lokasi kejadian untuk siasatan lanjut.
"Setelah tiba di lokasi kejadian, terserempak dengan beberapa orang dalam keadaan mencurigakan di mana didapati 4 lelaki sedang leka memindahkan beberapa kotak disyaki rokok seludup, dari sebuah bot ke kawasan lapang.
"Anggota keselamatan bertindak mengejar kesemua lelaki berkenaan, namun hilang dalam kawasan gelap,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Ahmad Fuad berkata, dalam pemeriksaan lanjut, anggota menemui 19 kotak besar dipercayai rokok seludup tidak dibayar cukai kastam.
“Antara jenis rokok seludup yang berjaya dirampas termasuk 800 bungkus rokok surya, 1,800 bungkus rokok nice (bold), 1,000 bungkus rokok LA Bold, 5,600 bungkus LA menthol light dan 3,000 bungkus rokok premium international gold,” katanya.
Beliau merakamkan penghargaan kepada OCP Daratan sektor Selatan dengan kerjasama semua pasukan keselamatan sehingga berjaya menggagalkan dan mematahkan penyeludupan itu.
“Kejayaan itu adalah hasil persefahaman dan kerjasama semua agensi keselamatan yang bertugas di OP Cegah Pati (OCP) Laut dan Daratan yang diselaraskan oleh ESSCOM dalam usaha mengekang penularan pandemik Covid-19.
"Kesemua barang rampasan telah di bawa ke balai polis Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967,” katanya.
Beliau berkata ESSCOM dengan kerjasama semua agensi penguatkuasa dalam OCP Laut dan Daratan sentiasa memperkemas rondaan dan memperketatkan penguatkuasaan serta kawalan keselamatan di sempadan perairan laut dan daratan di daerah ini bagi mengekang kemasukan PATI dan aktiviti penyeludupan rokok serta barangan terkawal dan bersubsidi lain daripada cuba diseludup ke negara jiran.















Comments