top of page

ESSCOM Tahan 40 Individu Atas Pelbagai Kesalahan

  • nabalunews
  • Jul 29, 2025
  • 2 min read

28 Julai 2025


KOTA KINABALU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) berjaya menahan 40 individu melibatkan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan jenayah narkotik dalam operasi serbuan di daerah Tawau dan Kalabakan.


Operasi selama dua hari berakhir 26 Julai lalu itu dilaksanakan secara bersepadu yang dikoordinasikan oleh ESSCOM dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta pelbagai agensi persekutuan dan negeri serta pihak berkuasa tempatan.


Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berkata, operasi yang dilaksanakan di sekitar kawasan bandar Tawau dan pekan Kalabakan antaranya Jeti Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Lama, Road Check Point (RCP) Kalabakan.

Katanya, serbuan juga melibatkan penempatan pinggir bandar dan kampung yang bertujuan membanteras penyeludupan barang kawalan, bersubsidi, tidak bercukai dan penyusupan PATI dan penguatkuasaan terhadap kesalahan-kesalahan lain.


“Selain itu, operasi keselamatan turut dilaksanakan di laluan ketirisan yang dikenal pasti digunakan oleh penjenayah berhampiran sempadan daratan dan perairan Daerah Tawau dan Kalabakan.


“Sepanjang operasi dijalankan, sejumlah 146 individu, 26 rumah serta premis perniagaan dan tiga kenderaan diperiksa.

“Seramai 21 PATI warga Filipina dan Indonesia ditahan dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Tawau atas kesalahan mengikut Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6 (1)(c) akta sama untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Menurutnya, bagi kesalahan narkotik, seramai 19 individu termasuk dua disyaki pengedar dadah berjaya ditahan.


Katanya, pasukan operasi turut berjaya merampas dadah jenis syabu dengan anggaran berat 125.64 gram, cecair ketum di dalam 41 botol isi padu 1.5 liter serta wang tunai berjumlah RM950.

Sementara itu, Victor berkata, selain menggempur penempatan PATI, operasi yang disertai Sabah Electricity turut melaksanakan pemotongan sambungan haram elektrik yang mengakibatkan kerugian mencecah RM750,000 mengikut Seksyen 61(3) Enakmen Bekalan Elektrik 2024.


Katanya, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut mengeluarkan 35 keping saman dan dua Notis Arah Periksa Kenderaan masing-masing atas pelbagai kesalahan lalu lintas di bawah POL 257 dan Akta Pengangkutan Jalan Raya (APJ) 1987.


“Objektif utama operasi adalah untuk menjamin keselamatan dan memelihara ketenteraman awam di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone), selain membanteras penyeludupan dan penyelewengan barang kawalan, bersubsidi, tidak bercukai, mengekang penyusupan PATI dan kesalahan- kesalahan lain,” katanya.


Sehubungan itu, Victor berkata, pihak ESSCOM akan terus memperhebat operasi bersepadu seumpama ini ke daerah-daerah ESS Zone bagi mengekang mana-mana elemen jenayah rentas sempadan yang boleh mengganggu-gugat keselamatan dan kesejahteraan awam di Sabah Timur.


“Masyarakat juga diseru untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang insiden keselamatan di ESS Zone ke Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863181 atau melalui aplikasi Whatsapp di talian 011-63311072,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page