• nabalunews

ESSCOM TAHAN 7 INDIVIDU, RAMPAS 139.82 GRAM SYABU BERNILAI LEBIH RM13,000 DI SEMPORNA




20 DIS 2020


SEMPORNA: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) di sini berjaya memberkas tujuh individu termasuk tiga warga asing disyaki terlibat sindiket pengedaran dadah jenis Syabu.


Komander ESSCOM DCP Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, kesemua suspek ditahan dalam dua serbuan berasingan terhadap dua rumah atas air di Kampung Batu, dekat sini, petang khamis lalu.



Beliau berkata, dalam serbuan pertama, bertindak atas maklumat, kira-kira jam 4.00 petang, sepasukan anggota pasukan keselamatan yang diketuai oleh ESSCOM menyerbu dan memeriksa sebuah rumah tidak bernombor di kawasan kampung berkenaan.


“Semasa serbuan, pemeriksaan menyeluruh dilakukan terhadap rumah tersebut dan anggota ESSCOM menemui beberapa barangan disyaki berkaitan aktiviti pengedaran dadah jenis syabu yang dijumpai di atas lantai ruang tamu.


“Antara barangan yang dijumpai termasuk satu bekas plastik mengandungi satu bekas plastik lutsinar tertulis TACTIX yang mengandungi 151 paket plastik kecil lutsinar berisi hablur-hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 82.78 gram dianggarkan bernilai RM8,000 serta 50 gulungan kecil foil aluminium,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.



Ahmad Fuad berkata, pemeriksaan lanjut mendapati tiga orang daripada suspek positif dadah dan tiga orang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.


Katanya lagi, turut dirampas dua unit telefon bimbit jenama Vivo dan Huawei, wang tunai berjumlah RM3,806 dan beg tangan kecil mengandungi lima bentuk cincin emas dan empat anting-anting.


“Kesemua lima individu yang terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita berumur antara 16 hingga 30 tahun ditahan untuk siasatan lanjut dan kes akan disiasat dibawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.


Beliau berkata, dalam serbuan kedua di lokasi yang sama kira-kira jam 4.15 petang itu, pasukan anggota keselamatan menyerbu sebuah rumah atas air yang terletak bersebelahan rumah suspek pertama.


“Hasil serbuan dan pemeriksaan terhadap rumah berkenaan, anggota keselamatan ESSCOM menjumpai satu beg tangan warna biru mengandungi paket-paket lutsinar berisi hablur-hablur jernih disyaki syabu seberat 57.04 gram dianggarkan bernilai RM5,000 dan 20 gulung foil aluminium.


“Turut dirampas satu unit penimbang digital berwarna hitam, 1 unit pemetik api, 1 bilah gunting besar, 1 unit telefon bimbit, 1 beg kecil berwarna merah, 1 bekas plastik, 2 bentuk anting-anting emas dan wang tunai berjumlah RM3019 dan 300 peso mata wang asing,” katanya.


Ahmad Fuad berkata, dua individu dalam rumah berkenaan iaitu seorang lelaki dan wanita berumur antara 70 hingga 80 tahun ditahan untuk siasatan lanjut dan kes akan disiasat dibawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.


Dalam pada itu, beliau merakamkan ucapan penghargaan atas kejayaan operasi ESSCOM yang dibantu oleh agensi keselamatan dalam melumpuhkan sindiket pengedaran dadah di daerah Semporna khususnya di kawasan perkampungan atas air iaitu di kampung Batu.


ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com