• Wartawan Nabalu News

ESSCOM TAHAN 8 PATI WARGA INDONESIA DI TAWAU



5 FEB 2021


TAWAU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) berjaya menahan lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia melalui Op Cegah Pati (OCP) Daratan di sini, semalam.


Komander ESSCOM DCP Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, kesemua mereka ditahan ketika menaiki sebuah kenderaan pick-up jenis Toyota hilux berwarna merah di Kawasan Kampung Kurnia Jaya Batu 4, Jalan Apas.


Beliau berkata, ketika kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, bertindak atas maklumat penyeludupan PATI, sepasukan anggota keselamatan yang sedang melaksanakan tugas rondaan OCP Daratan ESSCOM menahan sebuah kenderaan pick-up dalam keadaan mencurigakan yang melalui Kawasan berkenaan.


Anggota keselamatan itu terdiri daripada enam anggota Batalion 14 pasukan gerakan am (PGA), empat anggota polis Marin dan lima anggota 6 regiment renjer diraja (RRD) yang diketuai oleh seorang anggota ESSCOM.


"Pemeriksaan terhadap kenderaan tersebut mendapati seramai lapan penumpang yang terdiri daripada tiga lelaki dewasa, tiga wanita dewasa dan dua kanak-kanak berada di dalam kenderaan tersebut.


"Pemerikaaan lanjut mendapati kesemua mereka tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.


Ahmad Fuad berkata Kesemua PATI yang berumur antara 6 hingga 47 tahun itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau untuk siasatan lanjut dan kes akan disiasat di bawah Akta Pemerdagangan dan Penyeludupan Migran (ATISOM) 2007.


Turut dirampas sebuah kenderaan pick up jenis Toyota hilux yang digunakan dalam aktiviti berkenaan.