ESSCOM TAHAN WARGA ASING MILIKI DADAH

30 Nov 2020
Oleh Wartawan Nabalu News
KALABAKAN: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) di sini menahan seorang lelaki warga asing disyaki memiliki dadah jenis syabu seberat 47 gram bernilai lebih RM4,200, di sini, Sabtu lalu.
Komander ESSCOM DCP Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, bertindak atas maklumat pengedaran dadah, sepasukan anggota Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA) yang sedang melakukan tugas rondaan jarak jauh (RJJ) Op Benteng, membuat serbuan di sebuah rumah batu 3(W) E3, di ladang bukit Tukok Sabah Softwood, Kalabakan.
Beliau berkata apabila tiba di lokasi kejadian, ternampak seorang lelaki berdiri di hadapan rumah berkenaan dalam keadaan mencurigakan.
“Apabila anggota keselamatan cuba menghampiri, lelaki berkenaan cuba melarikan diri tetapi berjaya ditahan.
“Pemeriksaan terhadap beg silang milik suspek mendapati, anggota kita menemui lima paket plastik lutsinar mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 47.47 gram,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Ahmad Fuad berkata, suspek warga Indonesia berumur 20 tahun dan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri ditahan untuk siasatan.
“Turut dirampas beg silang, wang tunai RM 270 dan satu unit alat penimbang digital dengan nilai keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM 4,470.00.
“Suspek bersama barang-barang rampasan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis daerah Tawau untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, kes akan disiasat di bawah Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
ESSCOM dengan kerjasama semua pasukan keselamatan yang terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan maritime Malaysia akan sentiasa memperketatkan kawalan keselamatan dengan melaksanakan rondaan agresif secara bersepadu melibatkan pelbagai agensi keselamatan bagi mengekang dan membanteras sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan dan penyeludupan di negara ini.
Sehubungan, Ahmad Fuad menyeru semua lapisan masyarakat khususnya komuniti maritim di kawasan ESSZONE agar sentiasa memberikan kerjasama dengan menjadi mata dan telinga kerajaan termasuk melaporkan sebarang aktiviti yang bertentangan ataupun melanggar undang-undang negara kepada Pusat Operasi (PUSOP) ESSCOM ditalian 089-863181 ataupun menghubungi balai-balai polis berhampiran.
Comments