top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon adakan lawatan rasmi, taklimat di SKM, Institut Koperasi Malaysia

Ewon melawat pameran di IKMA

12 Januari 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick mengadakan lawatan rasmi dan menghadiri taklimat Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) di Menara SKM dan Institut Koperasi Malaysia (IKMA) di sini, hari ini.


Hadir sama Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Saraswathy Kandasami, Ketua Setiausaha kementerian Dato’ Sri Suriani Ahmad dan Timbalan Ketua Setiausaha kementerian (Pembangunan) Datuk Zamri Salleh.


Taklimat SKM disampaikan oleh Pengerusi Eksekutif SKM Rusli Jaafar dan taklimat IKMA disampaikan oleh Ketua Pengarah IKMa Datuk Mohd Ali Mansor.


Ewon turut diberikan taklimat mengenai Rang Undang-Undang SKM (Pindaan) 2022 dan Pelaksanaan Koperasi Rakyat 2.0 Malaysia Berhad (BR2.0).

Sementara itu Rusli berkata, sehingga 31 Disember 2022, bilangan koperasi berdaftar di bawah SKM di seluruh negara ialah 15,315 dengan bilangan keanggotaan seramai 7.05 juta.


“Modal syer atau yuran RM16.99 bilion, jumlah aset RM159.90 bilion dan turnover sebanyak RM38.49 bilion,” katanya.


Katanya lagi, sepanjang tahun 2022, SKM menerima peruntukan sebanyak RM76.32 juta bagi perbelanjaan mengurus dan pembangunan.


“Daripada jumlah itu RM3 juta diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan iaitu Program Pembangunan Perniagaan melalui Koperasi RM2 juta dan Program Pemerkasaan Rantaian Bekalan Koperasi (SCOPE) RM1 juta,” katanya dan menambah SKM mempunyai 96 pejabat di seluruh negara.


Mengenai taburan koperasi mengikut negeri, Rusli berkata, tiga negeri mempunyai bilangan koperasi melebihi 1,500 iaitu Selangor (2,000), Sabah (1,706), Perak (1,694) dan Sarawak (1,159).


Mengenai IKMA, Mohd Ali berkata, lima porgram utama IKMA yang akan dilaksanakan tahun ini, antaranya Program Pembangunan Kepimpinan Koperasi (PIMPIN), Program Asas Perniagaan Koperasi (COOPBif), Program Khidmat Perundingan Koperasi Bersasar dan Program Belia dan Masyarakat.

bottom of page