- Wartawan Nabalu News
Ewon cadang cuti berbayar pada 19 Nov sebagai CSR syarikat agar pekerja balik mengundi

11 November 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
PENAMPANG: Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick mencadangkan cuti berbayar pada 19 November ini sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat-syarikat swasta di negeri ini agar pekerja dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi pada hari berkenaan.
Bakal Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu berkata, pada hari berkenaan (Sabtu) ada pekerja swasta yang bekerja.

“Sekiranya syrikat swasta boleh mempertimbangkan, saya mencadangkan 19 November dijadikan sebagai cuti berbayar kepada para pekerja yang balik ke kampung masing-masing untuk menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.
“Pekerja boleh balik ke kampung masing-masing untuk mengundi tanpa dikenakan penalti atau pemotongan gaji oleh majikan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program Ramah Mesra Bersama Penduduk di Kampung Timpangoh Laut, Sugud, di sini, hari ini.
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan tiga negeri telah mengisytiharkan cuti umum pada 18 November ini bagi membolehkan pengundi pulang untuk mengundi pada keesokan harinya pada PRU15.
Negeri-negeri berkenaan ialah Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor.
Ewon turut mengalu-alukan keputusan itu dan mencadangkan supaya kerajaan negeri Sabah juga turut mempertimbangkan untuk mengisytiharikan 18 November ini sebagai cuti umum.

“Ini bagi membolehkan rakyat Sabah yang bekerja di bandar dapat kembali ke kampung halaman masing-masing menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi,” katanya.
Pada Khamis, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata, kerajaan negeri masih belum memutuskan sama ada akan mengisytiharkan cuti khas pada Jumaat (18 November), sehari sebelum hari mengundi seperti yang dilakukan beberapa negeri lain.
Beliau berkata, perkara itu akan dibawa ke Kabinet negeri sebelum sebarang keputusan dibuat.
