top of page
  • Wartawan Nabalu News

EWON CADANG KERAJAAN NEGERI AMBIL ALIH URUS TADBIR DAFTAR KEMISKINAN




21 DIS 2020

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick mencadangkan agar Kerajaan Negeri mengambil-alih urus-tadbir daftar kemiskinan rakyat Sabah.


Beliau berkata, dalam hal ini, kerajaan persekutuan boleh menyumbang dalam bentuk peruntukan dan program-program berkaitan mengikut acuan yang digariskan oleh Kerajaan Negeri.


“Saya percaya satu kajian telah dilaksanakan oleh Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah berkenaan daftar e-Kasih dan samada usaha-usaha selama ini berkesan membawa keluar para peserta daripada kepompong kemiskinan.


“Saya mencadangkan agar pihak IDS mengadakan taklimat kepada semua Ahli Dewan mengenai hasil dapatan penyelidikan tersebut supaya kita sama-sama boleh bekerjasama, dan seterusnya berjuang bersama membawa keluar rakyat kita daripada kemiskinan,” katanya ketika menyampaikan ucapan bahas ke atas Belanjawan 2021, pada persidangan dewan undangan negeri, di sini, hari ini.


Ewon berkata, ini kerana isu kemiskinan masih menjadi antara cabaran besar kepada kerajaan negeri.


“Kita maklum mengenai usaha sepanjang masa yang dilaksanakan untuk membantu mengeluarkan rakyat daripada kepompong kemiskinan. Kita juga maklum pemusatan daftar kemiskinan di bawah e-Kasih yang ditadbir-urus oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya.


Sehubungan itu beliau mencadangkan agar Kerajaan Negeri mengambil-alih urus-tadbir daftar kemiskinan rakyat Sabah.


bottom of page