top of page

Ewon dan Tan wakili blok Pakatan Harapan hadir Mesyuarat Jawatankuasa Tetap DUN Sabah

Wartawan Nabalu News

Ewon (dua dari kanan) dan Tan (kiri) bersama Shahelmey (kanan) dan Jahid sebelum mesyuarat.

11 November 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick dan ADUN Likas, Tan Lee Fatt yang mewakili blok Pakatan Harapan (PH) Sabah hadir ke mesyuarat Jawatankuasa Tetap Dewan Undangan Negeri Sabah hari ini.


Jawatankuasa tersebut dipengerusikan oleh Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim Yahya dan turut dianggotai oleh Datuk Jahid Jahim, Datuk Shahelmey Yahya, Datuk Isnin Aliasnih, Datuk Robert Tawik dan Datuk Jaujan Sambakong.


Menurut Ewon, kedua-dua mereka telah membangkitkan cadangan-cadangan reform DUN Sabah termasuk penambahan tempoh hari persidangan, masa menteri menjawab (Minister’s Question Time) dan penubuhan kamar khas.


“Tempoh persidangan DUN Sabah pada masa ini ialah sepuluh hari dalam setahun. Maka wajarlah ianya ditambah kerana bilangan ADUN kini berjumlah 79 iaitu 73 dipilih dan enam dilantik. Penambahan hari persidangan akan membolehkan Wakil-Wakil Rakyat ini mengutarakan masalah rakyat di kawasan, isu-isu Sabah, syor-syor kepada pihak Kerajaan manakala pihak Kerajaan pula akan mempunyai lebih masa untuk menjelaskan dasar-dasar serta inisiatif-inisiatif setiap kementerian.


“Pakatan Harapan Sabah sebelum ini mencadangkan tempoh persidangan setahun ditambah kepada 30 hari. Bagaimanapun dalam mesyuarat tadi, penambahan kepada sekurang-kurangnya 20 hari setahun bermula pada tahun hadapan boleh dilaksanakan. Kami berharap ADUN-ADUN lain akan menyokong keputusan ini,” katanya.


Menurut Ewon, PH Sabah akan terus komited mengangkat agenda reformasi DUN Sabah samada dibangkitkan semasa persidangan, dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Tetap tersebut mahupun dalam syor reformasi yang telahpun dikemukakan kepada Ketua Menteri pada bulan lepas.


Sidang DUN Sabah akan bersidang semula pada 6 hingga 9 Disember ini untuk belanjawan negeri 2022.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page