top of page
  • nabalunews

Ewon ikrar terus perkasa PKS, perdagangan digital



5 Disember 2022


PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi akan terus memperkasakan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berasaskan pendigitalan di seluruh negara, terutamanya di Sabah dan Sarawak.


Menterinya Datuk Ewon Benedick yang memulakan tugasnya secara rasmi hari ini berkata perkara itu, selaras dengan agenda yang dibincangkan pada mesyuarat khas Kabinet Kerajaan Perpaduan yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pagi tadi.


Ewon yang juga Naib Presiden Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) berkata Anwar meminta Jemaah Menteri, untuk turut memberikan tumpuan kepada pembangunan Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam agenda Perjanjian Malaysia (MA63).


“Saya percaya itu menjadi sebahagian daripada fokus kementerian, bukan hanya koperasi tetapi PKS berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), perdagangan digital di Sabah dan Sarawak diperkasakan lagi oleh kementerian ini,” katanya kepada media di sini hari ini.


Ewon berkata beliau juga akan meneruskan sesi libat urus, dengan pelbagai pemain industri PKS serta persatuan-persatuan berasaskan keusahawanan di negara ini.


Beliau berkata beliau juga akan konsisten meneruskan libat urus dengan pihak media, kerana percaya mereka antara rakan strategik kementerian itu dan kerajaan, dalam menyampaikan maklumat dan dasar baharu kepada rakyat.


Terdahulu, Ewon, 39, yang tiba di perkarangan bangunan kementerian berkenaan pada 12.15 tengah hari disambut Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Suriani Ahmad dan Timbalan Ketua Setiausaha Datuk Zamri Salleh.


Ahli Parlimen Penampang yang mengenakan sut serba hitam itu kemudian mengimbas kad perakam waktu sebagai tanda bermula tugas beliau sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi sebelum dibawa ke pejabat untuk menandatangani buku selamat datang dan selamat bertugas.


Ewon merupakan seorang daripada dua Ahli Parlimen dari Sabah yang mengangkat sumpah sebagai menteri dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan pada Sabtu lepas, selain Datuk Armizan Mohd Ali sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak). - Bernama

bottom of page