• Wartawan Nabalu News

EWON JEMPUT HAJIJI KUPI-KUPI DI RESTORAN UNTUK YAKINKAN RAKYAT


10 Julai 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick menjemput Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor untuk kupi-kupi di restoran bagi meyakinkan rakyat Sabah bahawa dine-in dibolehkan tanpa perlu risau kemungkinan dikompaun.


"Semalam, Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah mengeluarkan S.O.P untuk Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN), namun tidak menyatakan dine-in boleh atau tidak dibenarkan. Ianya hanya menyatakan bahawa aktiviti perniagaan berasaskan restoran dan seumpamanya dibenarkan beroperasi secara bawa pulang, pandu lalu dan penghantaran.


"Ketua Menteri pada 28 Jun menyatakan bahawa aktiviti dine-in dibenarkan, tetapi tidak dinyatakan di dalam SOP ini. Dalam situasi krisis hari ini, saya fikir rakyat tidak perlu dibebankan untuk mentafsir sendiri SOP yang telah dikeluarkan semalam. Rakyat perlukan sesuatu yang nyata dan jelas," katanya.


"Justeru, lebih eloknya kalau Ketua Menteri dine-in di restoran bersama sekurang-kurangnya barangkali Pesuruhjaya Polis Sabah selaku ketua pelaksana undang-undang keselamatan dalam negeri supaya rakyat lebih yakin dengan pengumuman beliau.


"Saya juga ingin menjemput Ketua Menteri kupi-kupi bersama saya di restoran sambil berbincang isu dan masalah rakyat di Kadamaian. Kita tunjukkan mesej yang kuat kepada Kerajaan Persekutuan dan MKN bahawa kita boleh mengurus rumah kita dengan autonomi sendiri," katanya.


Ewon menyatakan bahawa diskusi mengenai SOP dine-in mungkin dilihat kecil, tetapi ianya memberi gambaran kepada political will Kerajaan Negeri terhadap perkara yang lebih besar mengenai autonomi Sabah.


Beliau turut mengulas petikan whatsapp mengatakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Masidi Manjun yang juga selaku jurucakap Kerajaan Negeri mengenai Covid-19 yang menyatakan rakyat boleh mentafsir sendiri SOP yang telah dikeluarkan oleh MKN tersebut.


"Pada saya, ianya mesti datang daripada Ketua Pentadbir sendiri, iaitu Ketua Menteri. Beliau telah mengeluarkan pengumuman tetapi tidak diperakukan oleh MKN. Maka sebaiknya beliau boleh membuat penegasan dengan turun dine-in di restoran. Sebab itu saya jemput beliau untuk kupi-kupi di restoran untuk yakinkan rakyat," kata Ewon.