• Wartawan Nabalu News

EWON JUMPA KAWAN-KAWAN, SAPA KHABAR SAMBIL KONGSI HASIL IKAN PANCINGAN


26 Mac 2021 Oleh Wartawan Nabalu News KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick membuat kelainan dalam kunjungannya berjumpa dengan rakyat di kawasannya hari ini. Beliau bukan hanya bersapa khabar, tetapi turut berkongsi hasil ikan pancing yang diperolehi semasa trip memancing di laut dalam pada minggu lepas.



Antara yang ditemuinya ialah saudara Clarence di Kg Luminodip Tambulion yang dibantu Ewon mendapatkan rumah PPRT bina baharu pada tahun lepas dan kini dihuni oleh keluarga tersebut. “Syukur, kini mereka lebih selesa di rumah baharu ini. Semoga keluarganya terus sejahtera selepas ini. Saya turut berpesan kepada anak-anak beliau agar belajar sehingga berjaya,” katanya.

Ewon turut bertemu dengan Pastor Phool, Ketua Gereja SIB Kawasan Taginambur dan Pastor Samry, Ketua Gereja SIB Kawasan Nahaba bagi membincangkan banyak perkara berkaitan dengan keperluan pentadbiran gereja kawasan dan juga kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh pemimpin parti PAS. “Dalam kunjungan dan pertemuan ini, saya berseloroh dengan mereka bahawa saya mungkin tidak dapat memberi peruntukan Adun pada ketika ini tetapi saya sentiasa berusaha mencari sesuatu untuk dikongsi sebagai tanda ingatan persahabatan,” kata beliau.


Ewon merupakan penggemar aktiviti rekreasi memancing laut dalam. Menurutnya, hobi lama tersebut kini menjadi hobi baharu selepas pilihanraya dan akan berkongsi hasil pancingan dengan kawan-kawan di Kadamaian.