top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon kemuka 60 soalan untuk sidang DUN pada Mac ini



28 Feb 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick mengemukakan 60 soalan kepada pihak Kerajaan pada persidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan diadakan bermula 16 Mac hingga 24 Mac ini.


Beliau berkata, daripada jumlah keseluruhan soalan yang dikemukakan ke pejabat Setiausaha DUN Sabah hari ini, 10 soalan lisan dan 50 soalan bertulis.


"Seperti lazimnya, saya ingin mendapatkan penjelasan dan jawapan daripada pihak Kerajaan mengenai isu-isu yang menjadi keprihatinan utama rakyat Sabah.


“Antaranya cadangan pemberian dokumen pengenalan Kad Warga Asing kepada pendatang asing di Sabah, tadbir urus Nature Conservation Agreement (NCA), perjanjian kerjasama komersial dengan Petronas, perkara berkaitan pindaan Perlembagaan dan prestasi semasa Kerajaan Negeri termasuk bantuan kepada rakyat yang terkesan Covid-19,” katanya.


Ewon berkata demikian ketika dihubungi wartawan Nabalu News mengenai persiapannya menghadapi sidang DUN tersebut.


Beliau berkata, soalan-soalan berkaitan isu tanah di Kadamaian juga turut dikemukakan.


“Saya meminta penjelasan berkenaan perkembangan semasa projek-projek pembangunan infrastruktur di Kadamaian khususnya naiktaraf jalan raya seperti yang dijawab dan diumum pada sidang-sidang lepas.


“Sudah tentu rakyat Kadamaian ingin tahu apa perkembangan semasa projek-projek ini selepas dimaklumkan mengenainya pada sidang yang lepas," katanya.


Menurut pemakluman yang diberikan pejabat Setiausaha DUN Sabah, hari ini merupakan hari terakhir bagi ADUN-ADUN untuk mengemukakan soalan-soalan.


Dalam sidang DUN pada Disember tahun lepas, Ewon mengemukakan 59 soalan dan merupakan ADUN yang paling banyak mengemukakan soalan.


"Bagi rakyat Kadamaian, mereka boleh datang ke pejabat Pusat Khidmat ADUN Kadamaian untuk meneliti dan membaca jawapan-jawapan yang diberikan oleh pihak Kerajaan ke atas soalan-soalan yang saya kemukakan dan juga hansard perbahasan saya di DUN.


“Saya yakin mereka dapat menilai samada saya telah melaksanakan amanah selaku ADUN mereka dalam menjalankan peranan semak dan imbang ke atas Kerajaan hari ini.


"Saya juga akan mengambil bahagian dalam ucapan perbahasan bagi sidang DUN ini," katanya.

bottom of page