Ewon komited perkasa sambutan kebudayaan rakyat di Penampang
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon komited perkasa sambutan kebudayaan rakyat di Penampang

Ewon (tiga dari kiri) bersama tetamu-tetamu jemputan lain memalu gandang sebagai simbolik perasmian Pesta Ang Pau.

28 Januari 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick komited untuk memperkasakan sambutan-sambutan kebudayaan rakyat di daerah ini.


Beliau yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, ia tidak terhad kepada Pesta Kaamatan tetapi juga Pesta Ang Pau serta perayaan kebudayaan lain di sini.


"Ini penting agar masyarakat terutamanya golongan muda dan kanak-kanak dapat mempelajari kebudayaan kaum-kaum lain di Sabah bagi memupuk semangat perpaduan, keharmonian dan saling hormat-menghormati.

Ewon menyampaikan angpau kepada kanak-kanak pada majlis itu.

“Sebagai Wakil Rakyat Parlimen Penampang, saya akan memastikan peruntukan disediakan setiap tahun agar sambutan Pesta Angpau sempena Tahun Baru Cina dapat diadakan.


"Saya juga mahu semua kepimpinan politik di sini turut bersama-sama meraikan perayaan kebudayaan seperti Pesta Ang Pau," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pesta Ang Pau Penampang 2023, di Taman Suria, di sini, hari ini.


Ewon yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) turut menggesa rakyat Sabah mempertahankan identiti kemajmukan kaum, budaya, bahasa dan agama serta sentiasa saling hormat-menghormati dan bersatu padu.

Ewon ketika ditemui pemberita pada majlis itu.

“Kalau ada ekstremis kaum dan agama yang cuba memainkan sentimen perkauman atau keagamaan di negara ini, maka kita sebagai rakyat Sabah perlu mempertahankan identiti kita selama ini dan harus terus menjadi teladan kemajmukan kaum, bahasa dan agama yang sentiasa bersatu padu, harmoni dan saling hormat-menghormati,” katanya.


Turut hadir Pembantu Menteri Kewangan Sabah Tan Lee Fatt, ADUN Kepayan Jannie Lasimbang, mantan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Bernard Dompok, Ahli Dewan Negara Datuk John Ambrose, Pegawai Daerah Penampang Francis Chong, Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat Joseph Alex Chang dan para pemimpin masyarakat Penampang.

Ewon menyampaikan angpau kepada warga tua.

bottom of page