top of page
Wartawan Nabalu News

EWON KOMITED TERUS USAHAKAN PEMBANGUNAN FASA 3 KADAMAIAN SQUARE


Ewon meninjau Rumah Rehat di kawasan Kadamaian Square.

13 April 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick akan terus berjuang untuk pembangunan Fasa 3 di Dataran Kadamaian Square dan Tamu Taginambur.


Beliau berkata, fasa 3 itu merangkumi pembinaan konkrit ring road, pembinaan (pendalaman) parit kawasan tamu, landskap rekreasi dan taman permainan kanak-kanak serta driving range untuk sukan golf.


"Saya akan terus berjuang untuk pembangunan Fasa 3 Dataran Kadamaian Square dan Tamu Taginambur untuk manfaat seluruh rakyat Kadamaian," katanya.


Dua buah rumah rehat dan sebuah Kafe siap sepenuhnya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau pelaksanaan pembangunan Fasa 2 Dataran Kadamaian Square bersama mantan Adun Kadamaian Datuk Yapin Gimpoton, kelmarin.


Fasa 2 merangkumi pembinaan konkrit Tamu Mingguan Taginambur, naiktaraf kemudahan dewan, pembinaan rumah rehat, kafe dan konkrit tebing sungai.



Ewon berkata: "Ini merupakan antara perubahan pembangunan ketara di atas keprihatinan Kerajaan Sabah 2018-2020 yang saya berjaya rancangkan dan perjuangkan sepertimana dalam Pelan Induk Pembangunan Kadamaian, 2020-2035".


"Datuk Yapin membuka tamu rakyat ini, saya melengkapkan pembangunan yang diperlukan," katanya.


Ewon bersama Yapin meninjau kawasan Dataran Kadamaian Square.

Ewon berharap kemudahan itu akan memberi manfaat dan keselesaan bukan sahaja kepada penduduk Kadamaian tetapi seluruh rakyat Kota Belud.


Beliau yang juga bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah berkata, kerajaan negeri terdahulu telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM2 juta untuk pembangunan Fasa 1 dan 2 Tamu Pekan Taginambur.

Comments


bottom of page