Ewon lancar produk Sambal Mek Ngoh, usahawan AIM
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon lancar produk Sambal Mek Ngoh, usahawan AIM



19 Februari 2024

Oleh Wartawan Nabalu News

KUALA TERENGGANU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick melancarkan produk Sambal Mek Ngoh, milik Haslinda Wahab, usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di sini.

Ewon berkata, kejayaan usahawan itu seharusnya menjadi inspirasi kepada ibu-ibu dan usahawan wanita lain di negara ini untuk terus mencapai kejayaan dalam perniagaan masing-masing.

“Saya difahamkan, pada mulanya beliau ini (Haslinda) hanya mendapat pembiayaan sebanyak RM5,000 untuk memulakan perniagaan sambal beberapa tahun lepas, sebagai seorang ibu tunggal.

“Hari ini, beliau berjaya mengembangkan perniagaan ini dengan pengeluaran sebanyak 40,000 botol sambal dalam satu bulan dengan jualan bulanan mencecah sehingga RM400,000.

“Saya amat berbangga dapat melancarkan produk Sambal Mek Ngoh dan sebagai penghargaan saya kepada beliau supaya terus berjaya dan menjadi inspirasi kepada ibu-ibu dan usahawan lain untuk turut sama mencapai kejayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Melancarkan Produk Sahabat AIM Sambal Mek Ngoh, di Raia Hotel, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Urusan AIM Shamir Abdullah Aziz, Pengarah bahagian Operasi Lapangan Haji Zubairi Mohd Fadzil dan pegawai-pegawai kanan AIM.

Ewon turut menasihatkan para usahawan terutamanya yang masih terjejas akibat pandemik Covid-19 supaya terus bangkit dan berusaha memulihkan semula perniagaan mereka.

“Kita ambil insipirasi daripada mereka yang telah berjaya yang turut sama terkesan semasa Covid-19 tetapi bangkit semula dengan cepat kerana mereka berusaha dan tidak pernah putus asa. Mereka pernah jatuh dan bangkit semula seperti saudara Haslinda,” katanya.

Katanya lagi, kementerian dan agensi di bawah kementerian itu yang bertanggungjawab dalam pembangunan keusahawanan sentiasa mengamalkan dasar pintu terbuka untuk membantu usahawan atau koperasi yang memerlukan bantuan.

“Saya sentiasa mengalu-alukan sesiapa sahaja yang berhasrat untuk memulakan perniagaan untuk datang mendapatkan khidmat nasihat daripada agensi-agensi di bawah kementerian seperti AIM, Tekun Nasional dan SME Corp.

“Inilah peranan kementerian dan agensi-agensi di bawah kementerian saya seperti AIM, Tekun Nasional, SME Corp membantu perusahaan mikro memulakan perniagaan atau mengembangkan perniagaan mereka.

“Dari segi perkhidmatan agensi-agensi di bawah kementerian saya, buka sentiasa pintu bagi sesiapa sahaja yang ingin menceburi atau memulakan perniagaan, mereka boleh berkunjung ke mana-mana agensi KUSKOP.

Sementara itu Haslinda berharap kejayaannya itu boleh menjadi sumber inspirasi kepada usahawan-usahawan wanita terutamanya yang sedang bergelut dengan masalah kewangan agar mereka terus bangkit dan sama-sama mencapai kejayaan dalam perniagaan yang diceburi.

“Sahabat usahawan AIM perlu bangkit dan tidak ada lagi istilah duduk rumah kerana kita sedia maklum keadaan ekonomi sekarang, apabila kita lambat bangkit, kita akan terkebelakang,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak kementerian dan AIM kerana telah banyak memberi sokongan dan bantuan dari segi pembiayaan sehingga berjaya mengeluarkan produk baharu Sambal Mek Ngoh.

“AIM memberi peluang kepada saya untuk menceburi bidang keusahawanan, saya perlu menggunakan peluang itu sebaik mungkin,” katanya.

Dari segi sasaran untuk mengembangkan perniagaan pada tahun ini, Haslinda berkata, beliau akan membuka sebuah lagi kilang baharu memproses sambal kerana kilang sedia ada tidak dapat menampung pengeluaran sambal berikutan permintaan yang banyak.

bottom of page