top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon lancarkan logo terbaru KOPGET

26 Jun 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick melancarkan Logo Terkini Koperasi Lembaga Getah Malaysia Berhad (KOPGET), di Renaissance Hotel, di sini, hari ini.


Pada masa yang sama beliau turut melancarkan Pemasyhuran Patuh Syariah KOPGET dan penyampaian Sijil Pematuhan Syariah KOPGET.


KOPGET didaftarkan di bawah Akta Koperasi 1993 pada tahun 1949 dan dikenali sebagai The Rubber Research Institute Staff Co-Operative Society Limited.


Objektif utama penubuhan koperasi adalah untuk membantu meningkatkan taraf sosioekonomi anggota-anggotanya.


Ketika berucap pada majlis itu Ewon berkata, koperasi berupaya menjadi wadah yang dapat membantu anggotanya memperbaiki dan meningkatkan taraf hidup dan ekonomi melalui aktiviti perkumpulan.


“Penyertaan anggota dalam aktiviti koperasi mampu meningkatkan pendapatan mereka, sekali gus menjana pendapatan negara.


“Malah, jika dilihat kepada pertumbuhan koperasi di seluruh dunia, hampir satu bilion penduduk di seluruh dunia beroleh manfaat daripada aktiviti perniagaan koperasi termasuk menyediakan peluang pekerjaan kepada anggotanya,” katanya.

 

Sehubungan itu Ewon menyeru kakitangan Lembaga Getah Malaysia yang masih belum menyertai KOPGET, supaya menyertai koperasi ini.


“Dengan jumlah perolehan KOPGET sebanyak RM2.03 juta dan jumlah aset sebanyak RM5.76 juta, saya yakin KOPGET berjaya memberi banyak manfaat dalam menjaga kebajikan anggota-anggotanya yang kini seramai 668 orang sepanjang tempoh penubuhannya,” katanya.

Comments


bottom of page