• Wartawan Nabalu News

Ewon mahu bersama golongan belia bangunkan daerah Penampang


Ewon bersama sebahagian anak-anak Muda Penampang yang menghadiri program itu.

16 November 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Calon Pakatan Harapan bagi Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick berkata, beliau akan meneruskan sesi libat urus bersama semua lapisan masyarakat termasuk golongan belia bagi mendapatkan cadangan dan pandangan mereka dalam usaha membangunkan daerah ini.


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian percaya dalam memperjuangkan sesuatu isu rakyat, pandangan dan cadangan semua pihak harus diambil perhatian bagi memastikan penyelsaian sesuatu isu itu lebih berkesan.


“Saya percaya sesi libat urus bersama golongan belia akan membantu saya menjadi seorang Ahli Parlimen dan Adun yang lebih berkesan untuk mengangkat isu-isu belia ke Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN). Pendekatan seumpama ini saya masih teruskan di Kadamaian.


Ewon menjawab soalan yang diajukan golongan belia.

“Melalui sesi libat urus ini, saya mendapat banyak input berguna sebab itu dalam tawaran saya kepada rakyat Penampang, saya mahu memperbanyakkan sesi libat urus, program turun padang dan berjumpa rakyat,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam Program Bersama Anak Muda, di Outskirts Eatery, Putatan Ramaya, di sini, hari ini.


Ewon yang juga bakal Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata, sebagai presiden parti beliau akan terus memperkasakan Pergerakan Generasi Muda sebagai satu platform kepada golongan belia menyuarakan pandangan dan cadangan dalam pelbagai isu.


Antara belia yang mengajukan soalan kepada Ewon.

“Input ini bukan semata-mata untuk saya sebagai presiden parti tetapi sebagai pembuat dasar di peringkat negeri dan persekutuan,” katanya.


Sehubungan itu beliau mengalu-alukan penyertaan golongan belia dalam Jawatankuasa Tindakan Khas dan Pemantauan Pelaksanaan Projek-Projek Berimpak Besar yang akan diwujudkan kelak di daerah ini.


“Projek berimpak tinggi ini seperti Projek Pan Borneo, mitigasi banjir, pembesaran parit dan longkang yang sedang dilaksanakan dan sedang dirancang termasuk pembinaan hospital atau sekolah menengah.


Antara anak-anak muda Penampang yang hadir.

“Jawatankuasa yang saya cadangkan ini perlu melibatkan semua segmen masyarakat bukan sahaja pihak kontraktor yang bertanggungjawab melaksanakan projek berkenaan tetapi agensi dan jabatan kerajaan terbabit, badan-badan bukan kerajaan yang mempunyai kepakaran tertentu, wakil penduduk kampung, persatuan atau kepimpinan belia,” katanya.


Ewon berkata, sebagai presiden parti beliau akan bersama-sama dengan presiden-presiden parti komponan Pakatan Harapan yang lain berbincang dan memutuskan dasar-dasar gabungan itu.



“Sebab itu apa sahaja cadangan atau kehendak rakyat Penampang akan saya angkat dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan, contohnya penambahan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang baharu,” katanya dan menambah Penampang adalah kawasan yang besar tetapi hanya mempunyai dua DUN iaitu Moyog dan Kapayan.


Ewon turut berkongsi pengalamannya memperjuangkan hak penduduk Kg.Maang Penampang ketika beliau berusia 23 tahun.


“Saya memulakan perkhidmatan dalam kepimpinan sebagai Ketua Komulakan UPKO (kini Pergerakan Generasi Muda) untuk membantah cadangan kerajaan memindahkan penduduk setinggan dari Sri Tanjung Putatan ke Kg.Maang Penampang.



“Saya telah memainkan peranan yang sangat besar pada masa itu bersama para pemimpin lain menyediakan memo bantahan dan menganjurkan demonstrasi bagi memastikan cadangan itu tidak dilaksanakan.


“Dengan usaha itu, hari ini kita melihat Kg.Maang bebas daripada perumahan pendatang asing, kerana komulakan atau anak muda bersama dengan wakil rakyat Penampag berjuang pada masa itu,” katanya dan menambah dalam memperjuangkan sesuatu isu, suara rakyat harus didengar.