Ewon mahu lebih banyak koperasi ceburi aktiviti ternakan ayam
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon mahu lebih banyak koperasi ceburi aktiviti ternakan ayam

Ewon (tengah) menyampaikan watikah pelantikan kepada Umar Sarim sebagai Timbalan Pengerusi Eksekutif SKM, turut kelihatan Saraswathy (kiri), Suriani (dua kanan) dan Zamri (kanan).

12 Januari 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Sebanyak 21 koperasi yang berdaftar di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) terlibat dalam aktiviti ternakan ayam dengan jumlah pendapatan sebanyak RM57.46 juta setahun.


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berharap lebih banyak koperasi di negara ini menceburi aktiviti ternakan ayam bagi meningkatkan lagi kapasiti pengeluaran ayam di negara ini.


“Bagi koperasi sedia ada yang terlibat dalam bidang ini, saya berharap mereka dapat memanfaatkan sepenuhnya bantuan yang disediakan kementerian melalui SKM untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka.


“Pelbagai bantuan disediakan bagi memperkasakan koperasi dalam aktiviti ternakan ayam antaranya pembiayaan sehingga RM3 juta melalui Tabung Agromakanan dan Bantuan Pembangunan sehingga RM300,000 bagi mengukuh infrastruktur aktiviti ternakan ayam.

Ewon semasa taklimat tersebut.

“Ini adalah antara inisiatif yang disediakan SKM untuk pemerkasaan koperasi dalam sektor ini,” katanys selepas sesi Libat Urus Menteri KUSKOP Bersama Koperasi Ternakan Ayam sempena lawatan rasmi dan taklimat SKM, di Menara SKM, di sini, hari ini.


Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Saraswathy Kandasami, Ketua Setiausaha kementerian Dato’ Sri Suriani Ahmad dan Timbalan Ketua Setiausaha kementerian (Pembangunan) Datuk Zamri Salleh.


Taklimat SKM disampaikan oleh Pengerusi Eksekutif SKM Rusli Jaafar.


Ewon turut diberikan taklimat mengenai Rang Undang-Undang SKM (Pindaan) 2022 dan Pelaksanaan Koperasi Rakyat 2.0 Malaysia Berhad (BR2.0).

Ewon menerima cenderahati daripada Rusli, turut kelihatan Umar Sarim.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Eksekutif SKM yang baru Datuk Umar Sarim Saidin ketika menyampaikan taklimat mengenai Koperasi Ternakan Ayam berkata, kesemua 21 koperasi itu di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan.


“Kebanyakan koperasi yang terlibat dalam penternakan ayam adalah secara contract farming bersama pihak integrator (majoriti dengan Ayamas),” katanya.


Umar Sarim berkata, dari segi kapasiti pengeluaran ayam oleh koperasi, sejumlah 5.2 juta ekor ayam setahun berbanding keperluan domestik berjumiah 2.5 juta ekor ayam sehari.


Katanya lagi, antara isu dan cabaran yang dihadapi koperasi dalam perusahaan ini ialah peningkatan harga bibit dan input, manipulasi pihak integrator dalam kontrak dan urusniaga serta kesukaran mendapatkan bibit (DOC) berkualiti dan kesan kematian serta kecacatan yang tinggi.

bottom of page