Ewon mahu Program PANTAS di Kadamaian diteruskan dan dilaksana di Kg.Togudon Penampang
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon mahu Program PANTAS di Kadamaian diteruskan dan dilaksana di Kg.Togudon Penampang



30 November 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick mahu Program Perkhidmatan Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS) di Kadamaian diteruskan dan dilaksanakan di Kg.Togudon Penampang.


Beliau berkata, Program PANTAS Fasa 1 telahpun dilaksanakan di Kadamaian beberapa tahun lalu dan ia diteruskan di beberapa lagi kampung dalam Fasa 2.


“Saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana meneruskan Fasa Kedua penyukatan PANTAS di Kampung Kiau dan saya berharap dapat diteruskan di Kampung Lobong Lobong, Kg.Kaung, Kg.Tombotuon, Kg.Sayap, Kg.Melangkap, Kg.Gensurai dan Kg.Lasau,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika mencelah dengan izin semasa ucapan penggulungan Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir (Menteri di Jabatan Ketua Menteri), pada persidangan dewan undangan negeri, di sini, hari ini.


Ewon berkata, antara aduan penduduk kampung semasa kunjungan beliau di Kg.Togudon Penampang baru-baru ini ialah isu pemilikan geran tanah.


“Mereka berhadapan dengan isu pemilikan tanah (geran), walaupun mereka sudah berada di situ puluhan tahun dan mengusahakan tanah mereka untuk pertanian namun masih tidak ada geran tanah kerana keadaan tanah yang curam.


“Oleh itu, saya berharap Program PANTAS dapat dilaksanakan di Kg.Togudon Penampang, sama ada ia dibiayai oleh kerajaan negeri atau persekutuan,” katanya.


Ewon memohon supaya permintaan penduduk Kg. Togudon itu disenaraikan di bawah penyukatan tanah melalui Program PANTAS akan datang.


Mengenai pemberian biasiswa kepada pelajar cemerlang di negeri ini, beliau turut  mencadangkan supaya semua pelajar yang mendapat keputusan cemerlang 7A, 8A dan 9A diberikan biasiswa secara automatik.


“Mereka tidak perlu memohon kerana ia adalah ganjaran kecemerlangan mereka selain mengurangkan karenah birokrasi.


“Sudah tentu, apabila mereka menamatkan pengajian di universiti kelak, kita mahu mereka kembali dan berkhidmat kepada masyarakat di negeri ini,” katanya.

bottom of page