Ewon menyokong penuh inisiatif kebajikan Jabatan Pelayanan Wanita SDA Mangkulat di Kadamaian
- nabalunews
- Oct 30, 2024
- 1 min read

30 Oktober 2024
KOTA BELUD: Jabatan Pelayanan Wanita Gereja Seventh-Day Adventist (SDA) Mangkulat, Kota Belud, akan mengadakan Majlis Makan Malam Amal pada 9 November ini di Tag Valley Event Hall, Singgahmata Taginambur Jaya, di sini.
Majlis amal ini bertujuan untuk mengumpul dana bagi menyokong aktiviti kebajikan yang meliputi bantuan kepada ahli persatuan dan masyarakat setempat yang memerlukan.
Setiausaha Jabatan Pelayanan Wanita SDA Mangkulat, Justinah Bakod,
menyampaikan hasrat tersebut ketika menerima sumbangan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick yang diwakili oleh Pemaju Masyarakat N11 Kadamaian dari Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian, Clarence Somuil pada Selasa, 29 Oktober di pejabat ADUN.
Sumbangan ini merangkumi tajaan tiket untuk satu meja makan malam bagi memeriahkan dan menyokong penganjuran majlis itu.
Menurut Justinah, majlis amal ini akan memaparkan slaid bergambar mengenai pelbagai aktiviti Unit Care Group, salah satu unit dalam Jabatan Pelayanan, yang selama ini giat menjalankan usaha kebajikan dan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
Beliau menekankan bahawa aktiviti ini bukan sahaja memberi manfaat kepada golongan sasar tetapi juga mengeratkan hubungan dalam kalangan masyarakat dan ahli persatuan.
Beliau turut menyatakan harapan agar dana yang dikumpul dapat memantapkan lagi usaha kebajikan di masa hadapan, di samping memperluaskan capaian bantuan.
"Kami berharap dapat memberi lebih banyak impak kepada masyarakat dengan sokongan dana ini. Inisiatif sebegini bukan sahaja menyumbang kepada kesejahteraan, tetapi juga memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat," katanya.
Justinah turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Ewon Benedick atas sokongan berterusan beliau.
"Kami mendoakan agar beliau dan keluarga sentiasa diberkati dengan kesihatan yang baik, kebijaksanaan, serta kecemerlangan dalam kepimpinan untuk terus membawa manfaat kepada masyarakat," ujarnya.
Comments