top of page

Ewon pastikan warga KUSKOP dan agensi jayakan amanat Perdana Menteri

  • nabalunews
  • Aug 17, 2024
  • 1 min read


17 Ogos 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


PUTRAJAYA: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick akan memastikan warga kementeriannya dan agensi-agensi di bawah kementerian itu dapat menjayakan amanat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Sambil mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri mengenai pelarasan gaji penjawat awam, Ewon berkata, pengumuman itu pastinya akan meningkatkan lagi tahap kecekapan jentera perkhidmatan awam khususnya Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).


“Kita di KUSKOP terus memastikan amanat Perdana Menteri itu dapat dijayakan dan sama-sama menjayakan reformasi perkhidmatan awam.




“Terima kasih kepada Perdana Menteri kerana memberikan pertimbangan besar kepada penjawat awam di seluruh negara,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan pelancaran SME Bank XCESS 2024, di sini, hari ini.


Ewon yakin, pelarasan gaji kepada penjawat awam di seluruh negara pastinya akan meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam yang lebih baik selepas ini.


Ewon berkata demikian bagi mengulas Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Kali Ke-19 (MAPPA XIX) 2024 oleh Perdana Menteri, semalam.


Dalam amanat itu, kerajaan bersetuju melaksanakan pelarasan gaji sebanyak 15 peratus kepada pegawai kumpulan pelaksana dan pegawai kumpulan pengurusan dan profesional secara berfasa bermula 1 Disember 2024.




Bagi pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi pula, pelarasan gaji akan diberikan sebanyak 7 peratus yang akan dilaksanakan secara berfasa.


Anwar dipetik sebagai berkata, pelaksanaan pemberian gaji akan diberikan secara berfasa iaitu fasa 1 pada 1 Disember 2024 manakala fasa 2 pula pada 1 Januari 2026.


“Pegawai Kumpulan Pelaksana dan Pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional pelarasan gaji bagi fasa 1 adalah 8 peratus dan fasa 2 pula 7 peratus dengan keseluruhan 15 peratus.


Manakala bagi Kumpulan Pegawai Pengurusan Tertinggi fasa 1 sebanyak 4 peratus dan fasa 2 pula sebanyak 3 peratus.

Commentaires


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page