top of page
  • Wartawan Nabalu News

EWON SAMBUT BAIK PEMBUKAAN SEMULA TAMU TAGINAMBUR, KADAMAIAN SQUARE

30 April 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick menghargai keputusan pihak berkuasa tempatan daerah ini membenarkan semula operasi Tamu Taginambur di Dataran Kadamaian Square yang ditutup sejak tahun lalu bagi mengelak penularan Covid-19.


Beliau juga berpuas hati dengan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan para peniaga dan pengunjung tamu itu.


Ewon menyokong perniagaan penduduk kampung dengan membeli hasil pertanian mereka.

“Tamu Taginambur Kadamaian Square ini dibuka semula pada Jumaat minggu lalu dan hari ini adalah minggu kedua mereka berniaga di sini.


“Pembukaan tamu ini membolehkan para peniaga tempatan atau penduduk kampung menjual hasil pertanian mereka.


“Saya berharap para peniaga dan pengunjung terus mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan bagi membantu menangani penularan Covid-19,” katanya selepas mengadakan Walkabout di Tamu Taginambur di sini, hari ini.


Ewon bersama Munirah meninjau keadaan Tamu Taginambur.

Sebelum ini Ewon meminta supaya kerajaan membuka semula Tamu Taginambur Dataran Kadamaian Square dengan pematuhan SOP yang ketat bagi membolehkan para penduduk kampung menjalankan aktiviti ekonomi di situ.



Sementara itu seorang peniaga Nairi Lihaan dari Kampung Tuguson berterima kasih kepada Ewon atas usaha menaiktaraf kawasan Tamu Taginambur yang kini berwajah baru dan lebih selesa.


“Dulu kawasan tamu tidak secantik ini, bila hujan banyak “burutak” (lumpur) tapi sekarang kawasan tamu dan jalan raya menuju ke kawasan ini sudah dinaiktaraf,” katanya.


Nairi

Beliau yang berniaga di situ sejak puluhan tahun lalu berkata, kehadiran pengunjung minggu ini lebih banyak berbanding minggu pertama tamu itu dibuka semula minggu lalu.


“Hari ini ramai sikit pengunjung berbanding Jumaat lalu. Bagi mengelak jangkitan Covid, saya sentiasa memakai pelitup muka dan menggunakan hand sanitizer setiap kali berurusan dengan pembeli,” katanya yang menjual hasil pertanian dan juga bunga “viral” Bunga Ati-Ati dan Bunga Keladi.



Nairi berkata, sejak tamu itu ditutup tahun lalu, dia hanya menjual bunga dan hasil pertanian melalui Facebook.


Turut serta dalam Walkabout itu ialah, Ahli Parlimen Kota Belud Isnaraissah Munirah Majilis.



Comments


bottom of page