Ewon santuni warga emas, sampaikan bantuan sempena Kaamatan
- Wartawan Nabalu News
- May 26, 2024
- 1 min read

25 Mei 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick meluangkan masa turun padang menyantuni dan menyampaikan sendiri bantuan kepada beberapa warga emas di Kampung Gandukut dan Kg.Tengkurus, sempena Kaamatan.
Sempena program turun padang di Kadamaian, beliau turut menyampaikan sebanyak 80 bakul makanan kepada golongan warga emas dan ketua isi rumah (KIR) B40, di Kampung Lahanas Siba dan Kg.Tengkurus sempena sambutan Kaamatan.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, bantuan itu disampaikan melalui Program I Care’ yang dilaksanakan oleh Kelab Kebajikan Kadamaian dan Yayasan Bank Rakyat.

“Ini adalah inisiatif saya untuk membantu masyarakat yang memerlukan bantuan terutamanya warga emas dan terlantar sakit.
“Saya berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan yang ditanggung oleh pesakit dan keluarga mereka,” katanya.
Sumbangan berupa katil boleh laras dan barangan keperluan khas untuk warga emas itu disumbangkan oleh YBR dan Kelab Kebajikan Kadamaian disampaikan kepada tiga penerima dari dua kampung.
Sementara itu, ahli keluarga penerima sumbangan merakamkan ucapan terima kasih kepada Ewon atas keprihatinan terhadap keperluan ibu bapanya.
“Walaupun sibuk, beliau (Ewon) masih meluangkan masa mengunjungi setiap rumah dan menyampaikan sendiri sumbangan kepada penerima. Saya amat terharu dan bangga mempunyai wakil rakyat seperti beliau,” kata salah seorang ahli keluarga penerima sumbangan.
Comments