Ewon saran agensi-agensi KUSKOP, syarikat korporat, NGO laksana program CSR
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon saran agensi-agensi KUSKOP, syarikat korporat, NGO laksana program CSR

31 Januari 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menyarankan agar lebih banyak agensi kementerian, syarikat-syarikat korporat dan badan bukan kerajaan (NGO) menghulurkan sumbangan melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) pendidikan bagi membantu golongan memerlukan terutamanya pelajar sekolah di luar bandar.


Beliau yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, sumbangan itu walaupun sedikit namun amat bermakna kepada para penerima.


“Selain UDA Holdings Berhad, saya juga berharap agar agensi-agensi kementerian ini dan syarikat-syarikat korporat yang lain dapat bersama-sama melaksanakan Program CSR untuk membantu masyarakat kurang bernasib baik.


“Kita juga berharap agar kebaikan ini akan kekal dalam diri setiap penerima dan apabila mereka berada di tempat dimana mereka boleh membuat kebaikan suatu hari nanti mereka juga akan membantu masyarakat yang memerlukan pada masa itu.


“Sebagai Wakil Rakyat Penampang, saya merakamkan ucapan terima kasih kepada UDA Holdings atas sumbangan ini. Semoga ia dapat meringankan bebanan keluarga dalam menyediakan kelengkapan sekolah bagi menghadapi sesi persekolahan 2023 yang bakal tiba pada Mac ini,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap, pada Program UDA Cares, Back to School 2023, di SK Tampasak Togudon, di sini, hari ini.


UDA Holdings Berhad (UDA), sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyumbang RM30,000 kepada empat buah sekolah di sini iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tampasak Togudon, SK. Longkogungon, SK. Terian dan SK. Buayan.


Sumbangan itu berupa beg sekolah, alat tulis, bekas bekal makanan, subsidi pakaian seragam sekolah serta sumbangan membaik pulih tandas murid SK Tampasak Togudon untuk memberikan keselesaan kepada murid sekolah.


Ewon berharap, inisiatif murni UDA Holdings akan meningkatkan semangat dan iltizam para pelajar, menimba ilmu pengetahuan serta melahirkan generasi masa hadapan yang cemerlang, seiring dengan falsafah pendidikan kebangsaan iaitu memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.


Selain sumbangan di sekolah kawasan Penampang, Program UDA Cares; Back To School 2023 adalah program tahunan UDA yang turut diadakan di wilayah pembangunan dan perniagaan UDA antaranya di Johor, Pulau Pinang dan Kedah.

bottom of page