• Wartawan Nabalu News

Ewon ‘sekolahkan’ Bank Rakyat mengenai sejarah Malaysia



28 Ogos 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Ewon Benedick menyekolahkan Bank Rakyat mengenai sejarah Malaysia selepas bank tersebut membuat paparan di laman Facebook.


Dalam paparan tersebut, Bank Rakyat menyebut bahawa negara Malaysia dahulu dikenali sebagai Tanah Melayu dan Malayan Union semasa pemerintahan Inggeris. Selepas menandatangani perjanjian pada tahun 1957, negara ini dikenali sebagai Malaysia.


Ewon membidas paparan tersebut dengan menyatakan bahawa Bank Rakyat perlu diberi kuliah khas mengenai sejarah Malaysia.


“Tanah Melayu adalah Tanah Melayu sebelum dan selepas kamu merdeka pada 31 Ogos 1957.


“Malaysia adah negara baharu yang lahir pada tahun 1963 selepas Perjanjian Malaysia ditandatangani oleh Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sarawak, Sabah dan Kerajaan British.


“Hanya selepas negara baharu Malaysia ini lahir pada tahun 1963 tersebut, barulah Tanah Melayu mulai dijenamakan sebagai Semenanjung Malaysia.


“Malaysia tidak pernah wujud sebelum tahun 1963 dan justeru, tidak ada nama lain sebelum itu,” katanya.


Ewon yang juga Naib Presiden UPKO mengongsikan paparan Bank Rakyat tersebut dengan komen beliau di laman facebooknya.