Ewon sempurnakan penyerahan kunci rumah mampu milik kepada anggota koperasi
4 Ogos 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
BAYAN LEPAS (PULAU PINANG): Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mampu Milik Kepada Anggota Koperasi anjuran Koperasi Tunas Muda Sungai Ara Berhad, di Bangunan Koperasi itu di Taman Tunas Muda, Bayan Lepas, di sini, pada Khamis.
Ewon berkata, penganjuran majlis ini membuktikan keprihatinan dan kesungguhan Koperasi Tunas Muda dalam membangun dan memajukan sosial ekonomi anggota Koperasi.
“Ia bertepatan dengan Misi Koperasi Tunas Muda iaitu Menyediakan Perkhidmatan, Faedah dan Pulangan Terbaik Bagi Memajukan Dan Meningkatkan Taraf Hidup Anggota,” katanya ketika berucap pada majlis itu.
Koperasi Tunas Muda Sungai Ara Berhad adalah penerima anugerah Kategori Sektor Pembangunan Hartanah Dan Industri Pembinaan 2023, sempena Hari Koperasi Negara, baru-baru ini, yang berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah, baru-baru ini.
Ewon berharap, koperasi itu dapat melahirkan barisan pelapis pemimpin koperasi yang kompeten serta menghasilkan tenaga kerja mahir dan profesional dalam bidang Pembangunan Hartanah dan Industri Pembinaan seterusnya menjadi Koperasi Premier di Malaysia.
Beliau turut, merakamkan ucapan terima kasih kepada koperasi itu kerana melaksanakan banyak program tanggungjawab sosial korporat (CSR) terutamanya membina masjid di sekitar Pulau Pinang.
"Saya berharap Koperasi Tunas Muda Sungai Ara Berhad terus kekal sebagai peneraju gerakan koperasi dalam sektor hartanah di negara ini," katanya.
Ketika ditemui pemberita kemudian, Ewon berkata, beliau akan mengadakan pertemuan khas dengan 100 koperasi terbaik di Malaysia dan turut menjemput Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk hadir sama dalam pertemuan itu.
“Kita yakin pertemuan itu akan membolehkan kita bertukar-tukar fikiran dan pandangan bagaimana menjadikan 100 koperasi itu sebagai inspirasi dan teladan kejayaan kepada koperasi-koperasi lain di seluruh negara,” katanya.
Mengenai cadangan Koperasi Tunas Muda Sungai Ara Berhad untuk membangunkan bandar koperasi di Pulau Pinang, beliau berharap ia dapat dijayakan dengan sokongan semua pihak.
“Kementerian saya bertanggungjawab menjadi platform supaya koperasi ini dapat menjayakan wawasan itu,” katanya
Comments