- Wartawan Nabalu News
Ewon serah salinan laporan tragedi Double Six kepada keluarga Allahyaraham Tun Fuad
15 April 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick mengunjungi dan menyampaikan salinan laporan siasatan Tragedi Double Six kepada keluarga bekas Ketua Menteri Sabah Allahyarham Tun Fuad Stephens, di sini, hari ini.
Sebelum ini beliau menyampaikan salinan laporan yang sama kepada keluarga Datin Nancy Mary Mobijohn neé Mojuntin isteri mendiang Datuk Peter Mojuntin dan Datin Jiklin Binion isteri mendiang Datuk Darius Binion di rumah kediaman mereka.
Ewon berkata, dalam mesyuarat kabinet Rabu lalu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan beliau dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas Datuk Armizan Mohd Ali mewakili kerajaan untuk menyampaikan salinan laporan rasmi siasatan kepada waris dan keluarga mangsa.
Sementara itu dalam kenyataan keluarga Allahyaraham Tun Fuad yang terkorban bersama 10 individu lain dalam tragedi itu meminta supaya Australia juga mendedahkan laporan hasil siasatannya berhubung nahas itu.
Mereka berkata, langkah itu demi keadilan semua yang terbabit, termasuk mereka yang disebut secara negatif dalam laporan yang didedahkan, seperti juruterbangnya.
"Kita merasakan tidak mendapat gambaran yang lengkap berhubung punca kemalangan pesawat terbabit kecuali kita dapat melihat semua laporan dari Australia," menurut kenyataan keluarga itu.
Nahas pesawat Sabah Air itu, mengorbankan seramai 11 orang termasuk Ketua Menteri Sabah ketika itu Tun Fuad Stephens, Peter Joinod Mojuntin (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah), Chong Thien Vun (Menteri Perhubungan dan Kerja Raya Sabah) dan Salleh Sulong (Menteri Kewangan Sabah).
Turut terkorban Darius Binion (Pembantu Menteri kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah), Wahid Peter Andau (Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Sabah), Dr Syed Hussein Wafa (Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sabah), Ishak Atan (setiausaha sulit kepada Menteri Kewangan Malaysia), Koperal Said Mohammad (pengawal peribadi Ketua Menteri Sabah), Johari Fuad Stephens (anak ketua menteri) dan Gandhi J Nathan (juruterbang pesawat 9M-FTZ).
Pesawat udara Nomad 9M-ATZ keluaran Australia yang dikendalikan Sabah Air membawa rombongan berkenaan dalam perjalanan dari Labuan sebelum terhempas di Sembulan ketika menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.
Kommentare