EWON SERTAI PROGRAM ZIARAH KASIH KELAB KEBAJIKAN KADAMAIAN DI KG.LOBONG-LOBONG
3 Mei 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick menyertai rombongan Kelab Kebajikan Kadamaian menyampaikan sumbangan berupa makanan dan barangan dapur kepada 15 penerima di Kampung Lobong-Lobong, di sini, hari ini.
Program Ziarah Kasih sempena bulan Ramadan dan Kaamatan itu adalah antara aktiviti tahunan Kelab Kebajikan Kadamaian yang diketuai oleh Pengerusinya Shainim Epin.
Sebagai sokongan terhadap aktiviti dan program Kelab Kebajikan itu, Ewon telah menyampaikan sumbangan Program Sentuhan Kasih (Touchpoints) Adun untuk membolehkan mereka melaksanakan aktiviti kemasyarakatan di kawasan Kadamaian.
“Hari ini saya bersama-sama ahli Kelab Kebajikan Kadamaian dalam Program Ziarah Kasih dan menyampaikan sumbangan berupa makanan serta keperluan dapur kepada para penerima yang terdiri daripada warga emas, ibu tunggal, orang kelainan upaya (OKU) dan pesakit terlantar di rumah.
“Saya berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan mereka. Kita akan meneruskan program kebajikan seumpama ini agar lebih ramai golongan yang memerlukan bantuan dapat dibantu,” katanya selepas Program Ziarah Kasih, di Kampung Lobong-Lobong, di sini, hari ini.
Sementara itu, Shainim berkata, program seumpama itu akan diteruskan untuk membantu golongan yang memerlukan di kawasan Kadamaian.
“Golongan sasar Kelab Kebajikan Kadamaian ialah ibu tungal, balu, warga emas, miskin tegar, OKU dan pesakit terlantar di rumah.
“Selain Program Ziarah Kasih, selepas ini kami juga akan mengadakan Program Berbuka Puasa di kawasan Kadamaian seperti yang dicadangkan oleh Datuk Ewon,” katanya.
Beliau turut mengalu-alukan belia-beliawanis Kadamaian menyertai kelab itu untuk sama-sama menyumbang tenaga membantu masyarakat yang memerlukan bantuan.
Kelab Kebajikan Kadamaian Kota Belud ditubuhkan pada 2019 bertujuan membantu dan menjejaki golongan sasar seperti warga emas, ibu tunggal, OKU dan fakir miskin di kawasan Kadamaian.
תגובות