top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon setuju salur peruntukan RM200,000 laksana Tamu Desa di Tenghilan


18 Mei 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


TUARAN: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick bersetuju menyediakan peruntukan sebanyak RM200,000 untuk pelaksanaan Projek Tamu Desa di Tenghilan.


Beliau berkata, tapak Tamu Desa itu telah dikenalpasti dan akan dibina di kawasan Dewan Keluarga Keturunan Damit (KKD) Tenghilan.


“Saya bersetuju pelaksanaan Tamu Desa di kawasan dewan ini iaitu tapak milik Persatuan Keluarga Damit dengan peruntukan sebanyak RM200,000.


“Selain itu, sebagai insentif galakan daripada KUSKOP kepada koperasi ini, saya juga telah menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM100,000 bagi menjayakan aktiviti peruncitan koperasi,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Koperasi Koisaan Damit Tenghilan Berhad, di Dewan KKD Tenghilan, di sini, hari ini.


Koperasi itu yang kini disertai kira-kira 1,300 ahli telah ditubuhkan pada Januari lalu.


Ewon turut mengalu-alukan rakyat negara ini untuk menubuhkan atau menyertai mana-mana koperasi sama ada koperasi keluarga, komuniti atau koperasi kampung bagi meningkatkan taraf ekonomi rakyat.


“Kementerian telah mengadakan pelbagai inisiatif seperti program membudayakan rakyat berkoperasi dan program membudayakan belia berkoperasi bagi menggalakkan penyertaan lebih ramai rakyat negara ini dalam gerakan koperasi,” katanya.


Beliau turut menggalakkan koperasi yang terlibat dalam aktiviti pelancongan supaya memanfaatkan skim pembiayaan khusus untuk koperasi pelancongan yang baru dilancarkan beberapa hari lalu.


Katanya, sebanyak RM2 juta diperuntukkan bagi bantuan insentif Program Jom Jelajah Kopreasi (JEJAK) tahun in melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sebagai sokongan awal menggerakkan koperasi yang terlibat dalam sektor pelancongan.


“Insentif ini bertujuan memastikan koperasi khusus terlibat dalam industri pelancongan dapat bersaing dengan pemain industri pelancongan yang lain bagi meningkatkan pendapatan koperasi dan secara tidak langsung memberi manfaat kepada anggota koperasi,” katanya.p

Comentários


bottom of page