top of page

Ewon syorkan kerajaan negeri kemuka Bajet Khas Pemulihan Ekonomi Pasca Covid-19

Writer's picture: Marryan RazanMarryan Razan


12 Disember 2021

Oleh Marryan Razan


KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick mencadangkan kepada kerajaan negeri supaya mengemukakan Bajet Khas pemulihan ekonomi pasca Pandemik Covid-19.


Beliau berkata, ini kerana bajet yang dibentangkan baru-baru ini adalah bersifat konservatif iaitu hanya memenuhi program-program sedia ada di setiap kementerian, jabatan dan agensi yang memang perlu dibajetkan setiap tahun.


“Kalau kita ambil kira kerajaan terdahulu (Warisan Plus) kita telah membentangkan dua Bajet Khas berkaitan Covid iaitu Belanjawan Khas Pakej Bantuan Covid dengan peruntukan sebanyak RM670 juta dan disusuli Belanjawan Khas Pakej ‘Sabah New Deal’ RM240 juta yang diteruskan oleh kerajaan pada hari ini.


“Ini menunjukkan kita ada kebimbangan dan keprihatinan terhadap perkara tertentu selepas berhadapan krisis (Covid-19) ketika itu.


“Krisis ini sedang pulih dan perlu ada belanjawan khas untuk memulihkan semula sektor-sektor yang terjejas terutamanya pelancongan dan perindustrian,” katanya dalam Webinar “Semakan Belanjawan 2022, Masa Hadapan Untuk Sabah, anjuran Kinabalu Reform And Research Initiative For Strategic Leadership (KRISTAL), semalam.


Ewon berkata, dalam Bajet Sabah 2022, sektor pelancongan diperuntukkan sebanyak RM227.4 juta dan sektor perindustrian RM129.9 juta.


“Ini (peruntukan) memang tidak cukup untuk mempercepatkan pemulihan dalam sektor berkenaan sebab itu ada belanjawan tambahan akan diumumkan kerajaan pada tahun depan,” katanya.


Katanya lagi, mana-mana belanjawan yang dibentangkan sama ada di peringkat Persekutuan atau Negeri mempunyai impak kepada pemulihan ekonomi.


Bagaimanapun katanya sejauh mana cepatnya impak itu kepada pemulihan, ia masih terlalu awal untuk dijangka kerana banyak faktor yang memungkinkan sasaran itu dapat dicapai atau sebaliknya.


“Dengan adanya varian baharu Covid-19 iaitu Omicron, saya percaya ini bukan hanya membimbangkan Sabah dan Malaysia tetapi kebimbangan seluruh dunia sehingga ada negara-negara termasuk negara kita telah menutup sempadan kepada negara-negara tertentu.


“Bagi sektor pelancongan, keadaan ini akan merencatkan lagi pemulihan ekonomi dan pastinya akan menjadi faktor yang akan merencatkan sasaran pemulihan ekonomi seperti yang ditetapkan kerajaan.


“Lebih merisaukan lagi sekiranya ada varian baharu yang akan ditemui atau diumumkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) atau Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), tetapi kita berdoa ini yang terakhir dan tiada lagi varian baharu supaya kita fokus tenaga kepada pemulihan ekonomi,” katanya.


Ewon berkata, secara peribadi, beliau menyifatkan Belanjawan Sabah 2022 satu belanjawan konservatif walaupun ia dinyatakan sebagai “Surplus Budget”.


“Pada saya ia (bajet) perkara biasa kerana sudah pasti kerajaan akan membentangkan bajet lebihan pada bila-bila masa pada tahun depan dan ia satu ukuran sama ada lebihan bajet itu betul-betul menjadi kenyataan atau sebaliknya apatah lagi hasil belanjawan itu banyak bergantung kepada komoditi kita.


“Dalam belanjawan Sabah tiga hasil utamanya bergantung kepada komoditi royalti petroleum, cukai jualan petroleum dan cukai jualan minyak sawit.


“Dengan adanya varian baharu akan menjejaskan lagi penawaran dan permintaan komoditi … harga komoditi itu tidak menentu seterusnya memberikan kesan kepada hasil dan memungkinkan bila hasil terjejas pemulihan ekonomi juga jadi lambat,” katanya.


Sebab itu Ewon mencadangkan agar kerajaan negeri dapat mengemukakan Belanjawan Khas 2022 bersifat pemulihan.

Comentários


bottom of page