• Wartawan Nabalu News

Ewon tegur paparan ucapan kemerdekaan Ronald Kiandee



31 Ogos 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian, Ewon Benedick menegur paparan ucapan kemerdekaan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Malaysia, Datuk Ronald Kiandee.


Kiandee yang juga merupakan Ahli Parlimen Beluran memuatnaik paparan ucapan “Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan ke-64” di laman tweeter beliau.


Ewon menyiar respon ucapan tersebut dengan mengatakan ianya hanya sesuai ditujukan kepada rakyat Semenanjung Malaysia.


“YB, ucapan tersebut untuk rakyat Semenanjung Malaysia saja bah kan? Untuk rakyat Sabah dan Sarawak, tidak ngam ucapan angka 64 itu,” kata Ewon.


Mengikut catatan sejarah yang betul, Persekutuan Tanah Melayu mendapat kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, Sarawak pada 22 Julai 1963 dan Sabah pada 31 Ogos 1963.


Malaysia merupakan negara baharu yang lahir pada tahun 1963 apabila Perjanjian Malaysia ditandatangani oleh Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, Singapura dan Kerajaan British.


Ewon sebelum ini turut menegur paparan “fakta sejarah” Bank Rakyat yang menyatakan Malaysia dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu atau Malayan Union sebelum tahun 1963.


“Malaysia adalah sebuah negara baharu pada tahun 1963, justeru tiada nama lain sebelum itu. Malaysia juga tidak pernah dijajah oleh mana-mana negara lain, justeru ucapan Selamat Menyambut Kemerdekaan Malaysia itu tidak tepat dan merupakan pemesongan fakta sejarah. Jika ucapan itu dibuat oleh Wakil Rakyat dari Sabah, ia jelas menunjukkan kejanggalan dan kegagalan sejarah yang tidak sepatutnya berlaku,” kata Ewon ketika dihubungi wartawan Nabalu News mengenai teguran beliau ke atas ucapan Kiandee tersebut.


Ewon yang juga Naib Presiden Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) memaparkan ucapan “Selamat Menyambut Hari Kebangsaan dan Hari Kemerdekaan Sabah” di laman facebook dan tweeter beliau.