top of page
  • Wartawan Nabalu News

EWON TERIMA KUNJUNGAN DR ROSLIAH KITING BERKENAAN PENGEMBANGAN BAHASA KADAZANDUSUN



25 Mac 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick hari ini menerima kunjungan daripada Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa dan Komunikasi Universiti Pendidikan Sulltan Idris (UPSI) Dr.Rosliah Kiting bagi membincangkan program-program pengembangan bahasa ibunda Kadazandusun.


Ewon bersetuju untuk terus menyokong usaha-usaha yang dilaksanakan oleh UPSI bagi memperkasakan pengajian Bahasa Kadazandusun termasuk penganjuran seminar, penerbitan buku serta sokongan pengajian mahasiswa UPSI dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian yang mengambil major Bahasa Kadazandusun.




Beliau turut dimaklumkan dengan kerjasama antara UPSI dan Nabalu News berkenaan program khas ‘Mari Belajar Bahasa Kadazandusun’ secara maya sebagai inisiatif memperkasakan pembelajaran bahasa ibunda tersebut.


Kedua-dua pihak telah bersetuju mengadakan Memorandum Persefahaman (MoU) dan menjemput Ewon sebagai tetamu bagi menyaksikan majlis ringkas menandatangani MoU tersebut pada minggu hadapan.


Portal Nabalu News iaitu sebuah portal tempatan Sabah yang dikendalikan sekumpulan Wartawan dan Editor berpengalaman dalam bidang kewartawanan menyediakan ruangan Belajar Bahasa Kadazandusun bermula 17 Februari lalu.



Ruangan ini bertujuan memberi peluang kepada mereka yang berminat belajar Bahasa Kadazandusun terutama generasi muda masyarakat Kadazandusun.


Ini adalah antara usaha Portal Nabalu News untuk membantu kerajaan memartabatkan bahasa ibunda masyarakat Kadazandusun selain memaparkan berita-berita semasa dari dalam dan luar negara.



Comments


bottom of page