- Wartawan Nabalu News
EWON TERUS KOMITED BANTU PEMBANGUNAN KEAGAMAAN DI KADAMAIAN

7 Mei 2021 Oleh Wartawan Nabalu News KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick terus komited membantu pembangunan gereja dan rumah-rumah ibadat selain pembangunan-pembangunan lain di kawasan itu. Beliau berkata, walaupun peruntukan Adun yang diberikan kepada setiap wakil rakyat pembangkang agak terhad namun ia tidak menghalang untuk terus berkhidmat kepada rakyat.
“Peruntukan bukan datang daripada kerajaan semata-mata tetapi kita boleh berusaha mencari sumber kewangan daripada pelbagai pihak termasuk bekerjasama dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat-syarikat korporat,” katanya. Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat daripada Ketua-Ketua Kawasan Gereja Sidang Injil Borneo (SIB) Kadamaian, di Pejabat Khidmat Adun, di sini, hari ini.

Ketua-ketua gereja yang membuat kunjungan ialah Pastor Phool Tempisal (Ketua SIB kawasan Taginambur), Pastor Samry Maudin (Ketua SIB Kawasan Nahaba) dan Pastor Thomas mewakili SIB Kawasan Pekan. Dalam kunjungan itu Ewon menyampaikan sumbangan daripada program sentuhan kasih Adun kepada pentadbiran kawasan Gereja SIB tersebut.
“Saya berharap sumbangan ini sedikit sebanyak membantu meringankan bebanan dan membantu pihak gereja untuk melaksanakan keperluan pentadbiran kawasan, aktiviti atau program mereka,” katanya. Ewon juga menyatakan akan mengadakan perbincangan dengan pemimpin-pemimpin gereja lain seperti Seventh Day Adventist dan Roman Katolik bagi membincangkan keperluan-keperluan pembangunan dan pentadbiran gereja.