top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon turun padang tinjau kerosakan jalan kampung kawasan Penampang


30 Disember 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick, hari ini mengadakan program turun padang untuk mendengar sendiri masalah dan keperluan penduduk kampung di kawasan Penampang.


Beliau yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, ini adalah antara komitmen berterusannya sebagai wakil rakyat dan untuk memastikan keperluan rakyat akar umbi diambil perhatian segera.


“Pada hari ini saya meluangkan masa menyantuni penduduk Kampung Koidupan Tinduuzon Sugud untuk mendengar sendiri keperluan dan permasalahan mereka.

Ewon (kanan) mendengar permasalaham penduduk Kg.Koidupan Sugud.

“Antara isu yang dikemukakan penduduk kampung semasa kempen pilihan raya lalu ialah keperluan menukar status kawasan perkampungan daripada padang ragut kepada tanah kampung.


“Selain itu mereka juga meminta supaya Jalan Koidupan Sugud sepanjang 1.5km dinaiktaraf dan pembaikan Dewanraya Ambrose Dumpongol di Kampung Tinduzon Sugud,” katanya.


Selepas itu beliau menghadiri program Pacos di Kg.Kivatu sebelum meninjau kerosakan beberapa jalan kampung dan tanah runtuh di Kg.Tomui Kimoligan Inobong, Gereja Sacred Heart Inobong, Kg.Liput Gantung Kimoligan dan Kg.Penampang Proper


Ewon turut meluangkan masa menghadiri majlis perkahwinan anak mantan Ketua Kampung Kibunut Linus Lansama di Pusat kebudayaan Penampang.

Ewon meninjau kerosakan jalan di Kg.Tomui Kimoligan Inobong.

Semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) awal bulan ini, Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian telah mengemukakan permohonan penduduk Kampung Koidupan Tinduzoon Sugud mengenai penukaran status padang ragut kepada tanah kampung.


Beliau mencadangkan supaya rezab padang ragut yang tidak lagi diperlukan ditukar kepada rezab tanah kampung.

Ewon (dua dari kiri) bersama penduduk Kg.Penampang Proper.

“Ini adalah permintaan penduduk kampung yang mempunyai rezab padang ragut tetapi kini tidak lagi digunakan. Ada permintaan penduduk kampung di mana sebahagian daripada kampung mereka telah direzabkan untuk kawasan padang ragut tetapi sudah tidak ada penduduk yang mengusahakan ternakan.


“Maka adalah lebih baik rezab padang ragut itu dijadikan rezab tanah kampung kerana populasi penduduk semakin bertambah dan ada keperluan membina rumah baru,” katanya.


Kampung Koidupan Tinduuzon Sugud mempunyai lebih 40 buah rumah dengan bilangan penduduk lebih 200 orang.


bottom of page