top of page
nabalunews

Fairuz Bandar sahkan terima surat penamatan perkhidmatan Ahli Jemaah Pengarah NAFAS




30 Oktober 2024


KOTA KINABALU: Seorang Anggota Jemaah Pengarah (AJP) Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), Fairuz Bandar mengesahkan telah menerima surat penamatan perkhidmatan sebagai AJP Nafas daripada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkuat kuasa 23 Oktober 2024.


Fairuz yang juga Timbalan Setiausaha Agung Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata, sebagai AJP lantikan menteri, beliau akur dan menghormati keputusan pemecatan itu.


"Saya percaya ia berkait rapat dengan usul untuk menggantungkan tugas Pengurus Besar Nafas, Muhammad Faris Ariffin selama 14 hari yang diluluskan dalam Mesyuarat Ahli Jemaah Pengarah NAFAS bilangan 5/2024 bertarikh 22 Oktober 2024.


"Cadangan penggantungan tugas ini adalah bertujuan untuk memudahkan siasatan dilakukan ke atas laporan

penyalahgunaan dana Nafas dan kelemahan pengurusan yang telah dilakukan oleh Pengurus Besar.


"Keputusan yang dibuat oleh Ahli Jemaah Pengarah sebenarnya bukanlah hukuman kepada Pengurus Besar, ia hanyalah untuk memudahkan siasatan dalaman dibuat dan Pengurus Besar tidak perlu takut menghadapi siasatan ini jika sekiranya beliau tidak melakukan salah laku seperti yang dituduh," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.


Dalam pada itu, Fairuz berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merangkap Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick serta Mohamad kerana memberikan kepercayaan kepadanya untuk berkhidmat di Nafas sebagai AJP.


"Saya amat yakin bahawa pelantikan saya adalah berdasarkan kelulusan akademik, kepakaran dan pengalaman dalam gerakan Pertubuhan Peladang.


"Untuk rekod, saya memiliki Diploma Sains Pertanian dan Ijazah Sains Perniagaan Tani dari Universiti Pertanian Malaysia (UPM).


Tambahnya, beliau tidak asing dengan pergerakan Pertubuhan Peladang dan merupakan ahli serta pemegang saham Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tuaran.


Jelas Fairuz, dengan pengalaman lebih 30 tahun, ia menjadikan beliau AJP PPK, Pengerusi PPK Tuaran dan AJP Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sabah serta menjadi perwakilan ke Mesyuarat Agung Nafas.


"Sudah tentu saya sangat berpengalaman dalam perjalanan setiap pertubuhan di semua peringkat (PPK, PPN dan Nafas). Bolehlah anggap bahawa ‘Fairuz serta Peladang berpisah tiada’.


Fairuz berkata sebagai salah seorang pemimpin kanan parti dalam Kerajaan Perpaduan, beliau sentiasa memastikan amanah yang dipertanggungjawabkan oleh kepimpinan partinya terutama sekali oleh Presiden Parti, Datuk Ewon Benedick iaitu "Menjunjung Yang Betul, Menyanggah Yang Salah dan Meneruskan Yang Wajar”.


"Saya juga sentiasa menegakkan integriti yang baik selari saranan kepimpinan tertinggi kerajaan dan tidak akan cenderung untuk menidakkan

suatu proses yang baik untuk kepentingan awam," katanya.


Beliau turut menyarankan agar pihak berwajib seperti Lembaga Pertubuhan Peladang dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bersikap terbuka serta mendengar keluh pimpinan peladang terutama sekali AJP yang dipilih oleh ahli-ahli Peladang.


"Mereka ini adalah mewakili ahli peladang di seluruh negara.


"Jangan hanya kerana undang-undang memberikan kuasa kepada kamu, suara dan pandangan ahli peladang dinafikan. Saya amat percaya ‘muafakat membawa berkat’,” katanya.


Untuk rekod, Nafas di bawah KPKM diterajui oleh Mohamad yang juga Presiden Amanah.


Ia dianggotai oleh 14 buah pertubuhan peladang negeri.yang mempunyai 279 pertubuhan peladang kawasan dan keanggotaan lebih 900,000 orang.


Nafas menceburkan diri dalam pelbagai aktiviti perniagaan dan pelaburan khususnya dalam bidang pertanian dan mempunyai belasan syarikat.

Comments


bottom of page